Saham GTA Holdings dibuka mendatar 35 sen pada dagangan pertama di Pasaran ACE

LocalBusiness & Finance
8 Sep 2026 • 10:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Saham GTA Holdings dibuka mendatar 35 sen pada dagangan pertama di Pasaran ACE Image from: Saham GTA Holdings dibuka mendatar 35 sen pada dagangan pertama di Pasaran ACE liza08/09/2026 - 10:30 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 8 Sept – Permintaan tinggi terhadap tawaran awam permulaan (IPO) GTA Holdings Bhd belum diterjemahkan kepada lonjakan harga saham pada kali pertama dagangannya apabila kaunter penyedia perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO) itu dibuka tidak berubah pada 35 sen sesaham.

 

Saham GTA, yang disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini, mencatatkan dagangan sebanyak 106,509 saham sejurus pasaran dibuka.

 

Ini berlaku selepas bahagian saham yang ditawarkan kepada pelabur awam Malaysia terlebih langgan sebanyak 22.16 kali dengan syarikat itu menerima 13,797 permohonan bagi 1.5 bilion saham bernilai kira-kira RM523.35 juta.

 

Pada harga IPO 35 sen, GTA mencatatkan permodalan pasaran kira-kira RM451.97 juta.

 

Kemasukan GTA ke Bursa Malaysia itu membolehkan syarikat mengumpul RM71.75 juta menerusi penerbitan 205 juta saham baharu untuk membiayai rancangan pengembangan serta keperluan operasi kumpulan.

 

Sambutan IPO Jadi Perhatian

Selain dana baharu kepada syarikat, sebanyak 124 juta saham sedia ada turut ditawarkan dalam IPO, yang memberikan hasil RM43.4 juta kepada pemegang saham yang menjual kepentingan mereka.

 

Dana RM71.75 juta yang dikumpulkan GTA akan digunakan untuk beberapa rancangan dengan RM25 juta diperuntukkan bagi membangunkan kemudahan operasi baharu.

 

Kumpulan itu turut memperuntukkan RM10 juta untuk mengembangkan perniagaan MRO helikopter di Timur Tengah serta RM5.9 juta bagi memasuki perkhidmatan MRO untuk gear pendaratan, roda dan brek.

 

Sebanyak RM24.15 juta lagi akan digunakan sebagai modal kerja bagi menyokong aktiviti perniagaan selepas penyenaraian.

 

Dalam pada itu, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bakal menjadi pemegang saham besar GTA dengan kepentingan 5.6% selepas mengambil bahagian dalam tawaran institusi.

 

Rancangan Timur Tengah Masih Diperhalusi

Namun, salah satu rancangan pertumbuhan GTA kini berdepan penangguhan apabila syarikat memilih untuk menilai terlebih dahulu risiko keselamatan di Timur Tengah.

 

GTA sebelum ini merancang memperluaskan aktiviti MRO helikopter ke rantau tersebut, tetapi perkembangan keselamatan menyebabkan pelaksanaan rancangan itu ditangguhkan buat sementara waktu.

 

Sebaliknya, syarikat sedang meneroka peluang yang lebih dekat dengan Malaysia, termasuk Brunei, bagi mencari ruang pertumbuhan baharu.

 

Berpangkalan di Selangor, GTA mempunyai kepakaran dalam perkhidmatan MRO untuk enjin helikopter dan pesawat sayap tetap, selain menjual enjin baharu, modul enjin dan alat ganti penerbangan.

 

Dari segi prestasi, GTA mencatatkan peningkatan keuntungan bersih 10.5% kepada RM40.45 juta pada FY2025 daripada RM36.61 juta setahun sebelumnya.

 

Hasil GTA Melonjak 40.2%

Hasil kumpulan pula meningkat lebih tinggi iaitu 40.2% kepada RM331.78 juta daripada RM236.65 juta pada tahun sebelumnya.

 

Pertumbuhan itu memberikan asas kepada GTA untuk memperluaskan kapasiti dan skop perkhidmatan MRO selepas disenaraikan, dengan dana IPO menjadi antara sumber bagi menyokong rancangan tersebut.

 

Hong Leong Investment Bank Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal bagi IPO GTA Holdings. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved