
SEBERANG PERAI – Kementerian Kerja Raya (KKR) akan mengemukakan permohonan tambahan peruntukan bagi memperluas kerja penyelenggaraan jalan, khususnya di lokasi dikenal pasti berisiko tinggi dan kerap berlaku kemalangan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, pihaknya sebelum ini memohon kira-kira RM4 bilion bagi tujuan berkenaan namun hanya menerima sekitar RM2 bilion.
Beliau berkata, permohonan tambahan itu akan dibawa dalam pertemuan bersama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan pegawai kanan kementeriannya pada petang Selasa.
“Kita perlu RM4 bilion tetapi dapat cuma RM2 bilion. Itu lebih kurang angka setepatnya saya tidak ada pada masa ini, tetapi saya memang ingat.
“Petang ini kami akan mohon lagi. Menteri dan pegawai tinggi kami akan berjumpa Menteri Kewangan II untuk memohon segala perkara ini. Harapnya boleh bertambahlah penyenggaraan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Kontraktor 202 di PICCA Convention Centre @ Butterworth Arena di sini, hari ini.
Menurut Ahmad, peruntukan sedia ada perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk kerja penyelenggaraan jalan dan tidak boleh disimpan bagi kegunaan lain.
“Kita belanja semua. Kita tidak boleh simpan, kita kena belanja,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post KKR mohon peruntukan tambahan selenggara jalan appeared first on Kosmo Digital.






