BN disaran tinggalkan kerajaan Perpaduan – Veteran UMNO Paya Besar

LocalPolitics
4 Sep 2026 • 2:23 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: BN disaran tinggalkan kerajaan Perpaduan – Veteran UMNO Paya Besar

KUANTAN: Veteran UMNO Paya Besar menggesa Barisan Nasional (BN) supaya keluar daripada kerajaan Perpaduan kerana mendakwa Pakatan Harapan (PH) kini semakin terdesak hingga mengamalkan politik dendam dan ugutan.

Pengerusinya, Mohamed Ghazali Josoh berkata, tindakan PH itu jelas bertujuan menanam persepsi negatif dan menjatuhkan reputasi pihak yang tidak sehaluan dengan mereka.

Katanya, budaya politik sebegini hanya menambah kebencian rakyat terhadap kerajaan kerana lebih menumpukan usaha menuding jari daripada menyelesaikan masalah sebenar rakyat.

“Rakyat sudah muak dengan politik saling menyalahkan. Mereka sedang bergelut dengan kelangsungan hidup, berdepan tekanan ekonomi dan kos sara hidup yang semakin menghimpit.

“Mana-mana parti yang memerintah negara dan negeri sepatutnya memberi fokus kepada pembangunan ekonomi, kebajikan serta kesejahteraan rakyat, bukan mengulang retorik lama menyerang kepimpinan terdahulu.

“Kalau kerajaan lama tidak baik, kerajaan sekarang perlu buktikan lebih baik. Buat penambahbaikan, bukan sekadar mencari salah orang lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mohamed Ghazali mengingatkan bahawa rakyat kini menilai setiap langkah yang dilaksanakan kerajaan dan kegagalan memberikan penyelesaian hanya akan mempercepatkan hilangnya keyakinan terhadap kepimpinan.

Dakwanya, politik ugutan dan dendam yang diamalkan PH bukan sahaja merosakkan imej kerajaan, malah menjejaskan usaha membina perpaduan nasional yang kononnya menjadi asas penubuhan kerajaan campuran itu.

“Kerajaan Perpaduan ini sepatutnya menjadi platform menyatukan rakyat, tetapi apa yang berlaku sebaliknya. Rakyat semakin terpisah kerana permainan politik sempit,” katanya.

Beliau menegaskan, BN tidak boleh terus bersekongkol dengan strategi politik yang menekan rakyat dan menjejaskan maruah parti.

“BN mesti berani keluar daripada kerajaan Perpaduan demi menjaga integriti dan prinsip perjuangan asal. Tidak perlu tunggu sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16),” katanya.

Mohamed Ghazali juga memberi amaran bahawa jika BN terus kekal bersama PH, parti itu akan kehilangan sokongan akar umbi yang sudah lama menuntut perubahan.

“Veteran UMNO Paya Besar berdiri teguh dengan pendirian ini. BN perlu kembali kepada rakyat, bukan tunduk kepada politik ugutan,” tegasnya. – UTUSAN

The post BN disaran tinggalkan kerajaan Perpaduan – Veteran UMNO Paya Besar appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved