BN perlu buktikan 97 peratus manifesto ditunaikan – Adly

LocalPolitics
9 Nov 2026 • 8:36 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: BN perlu buktikan 97 peratus manifesto ditunaikan – Adly

MELAKA: Pakatan Harapan (PH) menggesa Barisan Nasional (BN) mengemukakan bukti dan senarai lengkap pelaksanaan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021 susulan dakwaan sebanyak 97 peratus janji sudah ditunaikan.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, dakwaan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh mengenai pencapaian tersebut perlu disertakan perincian kedudukan pelaksanaan 103 inisiatif yang terkandung dalam manifesto berkenaan.

Menurutnya, dokumen so­kongan serta kaedah pengiraan pencapaian itu juga perlu didedahkan kepada pengundi bagi mengelakkan kekeliruan sepanjang kempen PRN Melaka kali ini.

“BN telah melaksanakan 97 peratus manifesto PRN 2021 dan manifesto tersebut mengan­dungi 103 inisiatif merentasi lima teras maka dakwaan pencapaiannya perlulah disertakan senarai lengkap yang menunjukkan kedudukan serta komitmen.

“Dokumen sokongan dan kaedah pengiraan mesti dibuka kepada pengundi bagi mengelakkan kekeliruan sepanjang kempen,” katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan soal pengurusan kewangan kerajaan ne­geri dengan merujuk ringkasan Laporan Ketua Audit Negara yang merekodkan hasil Melaka sebanyak RM490 juta berban­ding perbelanjaan RM519 juta pada 2024.

Katanya, angka berkenaan memperlihatkan kepentingan pengurusan perbelanjaan secara berhemah bagi memastikan setiap ringgit wang awam dibelanjakan dengan telus dan mempunyai hasil yang boleh diperiksa.

Beliau turut membandingkan kedudukan itu dengan pentadbiran PH pada 2019 yang menurutnya mencatatkan lebihan kewangan sebanyak RM50 juta.

“Kadang-kadang kita dapat meningkatkan pendapatan tetapi pengurusan perbelanjaan kita harus berikan juga keutamaan.

“Kalau mengikut rekod 2024, pendapatan kita RM490 juta tetapi kita berbelanja RM519 juta,” katanya.

Adly berkata, menerusi aspirasi Melaka Rumah Kita, PH menawarkan pentadbiran yang bersih, telus dan berintegriti termasuk memastikan keputusan kerajaan dibuat berdasarkan kelayakan serta prosedur yang jelas.

Menurutnya, antara perkara yang perlu diberikan perhatian adalah usaha mengurangkan birokrasi dalam sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan negeri khususnya melibatkan permohonan bantuan kebajikan.

“Kadang-kadang kena ada kelulusan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), lepas itu kadang-kadang perlu ada pengesahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan sebagainya. Ini menyukarkan rakyat itu sendiri.

“Sepatutnya yang membuat penilaian adalah pegawai-pegawai daripada jabatan kebajikan sendiri. Bukan ADUN yang buat penilaian ataupun JPKK,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa antara langkah me­ngurangkan birokrasi yang pernah dilaksanakan pentadbiran PH adalah menyalurkan bantuan terus ke akaun bank pe­nerima serta memberikan kuasa kelulusan kepada agensi bertanggungjawab.-UTUSAN.

The post BN perlu buktikan 97 peratus manifesto ditunaikan – Adly appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved