BN pertahan 21 kerusi, rakyat tentukan rakan menerusi ‘BN Plus’ di Melaka

LocalPolitics
11 Sep 2026 • 4:33 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

BN pertahan 21 kerusi, rakyat tentukan rakan menerusi ‘BN Plus’ di Melaka

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) bertegas untuk mempertahankan kesemua 21 kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lalu, sementara rakyat diberi ruang menentukan rakan strategik terbaik menerusi formula baharu dikenali sebagai “BN Plus”.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, formula itu mengambil kira keunikan landskap politik negeri berkenaan yang tidak semestinya perlu mencontohi bentuk kerjasama dilaksanakan di negeri lain.

“Kita akan menyerahkan kepada rakyat untuk memilih siapakah rakan strategik yang terbaik untuk kerajaan negeri Melaka,” katanya ketika melawat laman media selepas menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka dan Pengerusi BN negeri menjelaskan, gabungan itu belum mengadakan sebarang rundingan dengan parti politik lain berhubung kerjasama menghadapi PRN.

Menurut beliau, rundingan hanya akan dimulakan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan secara rasmi.

“Kita belum berunding lagi kerana saya menegaskan bahawa segala perundingan dengan mana-mana parti politik yang berminat untuk berada di pentas demokrasi Melaka hanya dibuat selepas pembubaran Dewan,” katanya.

Mengulas pembahagian kerusi, beliau menegaskan BN tidak akan berkompromi terhadap 21 kawasan yang dimenangi gabungan itu pada PRN lalu.

Katanya, parti lain pula perlu bertanding dan mempertahankan tujuh kerusi yang dikuasai masing-masing.

“Kita bertanding di tempat kita. Tujuh kerusi yang lain, parti yang menang bertandinglah dan pertahankan kerusi mereka. Kita pertahankan kerusi yang kita menang,” katanya.

Mengenai tarikh pembubaran DUN, Ab Rauf berkata pengumuman akan dibuat apabila tiba waktunya, namun memberi bayangan tempoh menuju PRN semakin hampir.

“Bila tiba waktunya nanti saya akan umumkan, tetapi waktunya tidak berapa panjang dan tidak berapa pendek.

“Gerak kerja kita sudah bermula sejak dua tahun lalu. Kita hanya menunggu masa melabuhkan tirai gerak kerja ini sebelum membubarkan Dewan,” katanya.

Penggal DUN Melaka ke-15 dijadualkan tamat pada 27 Disember ini sekiranya tidak dibubarkan lebih awal. PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran tersebut.

The post BN pertahan 21 kerusi, rakyat tentukan rakan menerusi ‘BN Plus’ di Melaka appeared first on MYBERITA.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved