BN, PN teruskan rundingan pembentukan kerajaan baharu Negeri Sembilan

LocalPolitics
1 Aug 2026 • 10:01 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: BN, PN teruskan rundingan pembentukan kerajaan baharu Negeri Sembilan

SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) akan meneruskan perbincangan berhubung pembentukan kerajaan negeri yang baharu berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, secara tidak rasmi, BN telah memenangi 18 kerusi manakala PN memperoleh tujuh kerusi, sekali gus melepasi majoriti untuk membentuk kerajaan negeri.

“Insya-Allah, persefahaman yang bakal dijalin antara BN dan PN akan diterjemahkan menerusi pembentukan sebuah kerajaan negeri yang stabil dan berwibawa, berpaksikan mandat rakyat.

“Secara tidak rasmi, setakat ini BN telah memenangi 18 kerusi, manakala PN memperoleh tujuh kerusi. Ini bermakna BN dan PN telah melepasi majoriti untuk membentuk kerajaan negeri.

“Kami akan meneruskan perbincangan susulan antara kedua-dua gabungan ini berhubung pembentukan kerajaan negeri yang baharu berdasarkan keputusan yang dimaklumkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas keputusan PRN Negeri Sembilan diumumkan di Wisma UMNO Negeri Sembilan hari ini.

Ahmad Zahid turut merakamkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas keputusan serta mandat yang diberikan rakyat Negeri Sembilan kepada BN dan PN untuk menerajui semula pentadbiran negeri.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pengundi yang telah keluar menunaikan tanggungjawab serta memberikan kepercayaan kepada kedua-dua gabungan itu.

“Keputusan tersebut diterima dengan penuh rendah diri dan rasa tanggungjawab kerana kepercayaan rakyat bukan alasan untuk BN dan PN leka atau sombong.

“Sebaliknya, amanah ini mesti dibalas dengan kerja keras, pentadbiran yang berwibawa serta khidmat terbaik kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan.

“Mandat yang diberikan rakyat hadir bersama tanggungjawab yang besar untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan berwibawa, bekerja demi mensejahterakan rakyat serta meningkatkan taraf kemakmuran negeri. Tugas kami bermula pada malam ini,” katanya. – UTUSAN

The post BN, PN teruskan rundingan pembentukan kerajaan baharu Negeri Sembilan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved