BN serah tiga nama calon MB kepada Tuanku Muhriz – Ahmad Zahid

LocalPolitics
2 Aug 2026 • 3:39 AM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

BN serah tiga nama calon MB kepada Tuanku Muhriz – Ahmad Zahid

SEREMBAN – Barisan Nasional (BN) menyerahkan sepenuhnya kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir untuk menentukan siapa yang bakal dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu selepas gabungan BN dan Perikatan Nasional (PN) memperoleh majoriti kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiga nama daripada kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN telah dipersembahkan kepada baginda, namun identiti mereka tidak didedahkan kerana pengumuman rasmi merupakan hak mutlak pihak Istana.

“Saya telah mengemukakan tiga nama kepada Tuanku dan menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan serta budi bicara Tuanku untuk diperkenankan.

“Hak mutlak Tuanku adalah memilih salah seorang daripada nama yang dikemukakan itu sebagai calon Yang Amat Berhormat Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadap Tuanku Muhriz di Istana Besar Seri Menanti, di sini, malam ini.

Ahmad Zahid berkata, semua calon yang dikemukakan merupakan wakil rakyat BN yang memenangi kerusi masing-masing pada PRN Negeri Sembilan.

Menurut beliau, pihak Istana dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung pelantikan Menteri Besar dalam masa terdekat selepas proses pertimbangan selesai.

Mengulas kehadirannya menghadap Tuanku Muhriz pada waktu malam, beliau menjelaskan ia dibuat susulan titah baginda.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid memaklumkan kerajaan negeri baharu akan dibentuk menerusi kerjasama antara BN dan PN yang menguasai 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus memperoleh majoriti mudah untuk mentadbir Negeri Sembilan.

“Atas perkenan Tuanku, BN memperoleh 18 kerusi dan PN memperoleh tujuh kerusi. Ini bermakna dengan 25 kerusi, kerajaan BN dan PN akan terbentuk sebagai kerajaan baharu Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau turut menyeru semua pihak agar menghormati proses peralihan pentadbiran negeri serta memberi ruang kepada kepimpinan terdahulu demi memastikan perubahan kerajaan berlangsung secara tertib dan berhemah.

“Walaupun mungkin Menteri Besar baharu akan mengangkat sumpah dalam tempoh terdekat, semuanya adalah sahabat-sahabat kita.

“Kita mesti ada rasa kemanusiaan dan tataetika yang harus digunakan untuk menghormati rakan-rakan kita,” katanya.

The post BN serah tiga nama calon MB kepada Tuanku Muhriz – Ahmad Zahid appeared first on MYBERITA.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved