BN sedang beri tapak kepada Pas di Melaka

LocalPolitics
13 Nov 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: BN sedang beri tapak kepada Pas di Melaka

PAKATAN Harapan (PH) mengharapkan pengalaman mentadbir Melaka serta rekod pelaksanaan inisiatif di peringkat negeri dan Persekutuan menjadi kelebihan untuk mendapatkan semula mandat rakyat. 

Walaupun berdepan persaingan daripada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), namun PH yakin sokongan pengundi dapat diperkukuh menerusi khidmat calon, pendekatan mendekati masyarakat serta penekanan terhadap integriti, perpaduan dan nilai kepimpinan. 

Ikuti wawancara Pengerusi PH Melaka yang juga merupakan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil , ADLY ZAHARI bersama wartawan Utusan Malaysia, HADI AB. MANAP dan HAFIZ SAIDINA serta jurugambar, MUHAMAD IQBAL ROSLI.


Bagaimana prestasi calon-calon PH di 24 kerusi ditandingi?

Saya lihat perkembangan kempen calon-calon PH semakin rancak. Sekarang ini kempen agak lebih teratur, kemas dan jentera kita pun lebih bermotivasi untuk memberikan khidmat dalam bentuk mendengar pandangan. 

Kebanyakannya calon PH memberi fokus untuk mendengar isu-isu terkait masyarakat. Ada kadangkala isu setempat, kadang-kadang kita pergi rumah ketika kempen, mereka minta tebang pokok depan rumah kerana sudah ‘tua’ sangat dan ia mengundang bahaya. 

Begitulah juga kita tengok isu kebajikan. Lagi satu, ramai juga calon mempunyai  perancangan sendiri. 

Contohnya, di Telok Mas, calon kita menyedari masjid di sana sudah agak lama yang memerlukan masjid baharu. Hal seperti ini kita akan bantu panjangkan kepada kerajaan di peringkat Persekutuan untuk mempertimbangkan. 

Begitulah juga di DUN-DUN lain, saya tengok ada banyak juga perancangan tentang kebajikan, ekonomi, betul-betul isu-isu setempat. Jadi kita memang fokus pilihan raya ini bukan sahaja kempen untuk dapatkan undi tetapi paling penting menyelesaikan pandangan atau aduan  yang dibangkitkan rakyat.

Ada masalah boleh selesai pada waktu itu juga. Ada pula mengambil sedikit masa seperti masalah longkang tersumbat. Jadi kita maklumkan pada pihak berkuasa tempatan (PBT), walaupun ketika ini  dalam tempoh berkempen kerana  agensi kerajaan masih tetap berfungsi. 

Di DUN saya pula mereka risau tentang kemungkinan berlaku pokok tumbang dan saya melihat PBT boleh ambil tindakan untuk bersihkan.  

 

Kenapa PH perlu diberikan semula mandat untuk mentadbir Melaka?

 Kita pernah memimpin Melaka. Kita tahu apa isu yang terkait dengan negeri dan bagaimana nak memacu negeri ini ke hadapan. 

Memang Melaka punya potensi yang besar kerana kedudukannya agak strategik. Sebab itu bila kita masuk dalam pilihan raya ini, memang kita harapkan rakyat memberikan sokongan kepada kita berdasarkan beberapa perkara. 

Yang pertama adalah tentang pengalaman kita dalam kerajaan negeri. Jadi pilihan raya ini imbau juga pengalaman-pengalaman kita. Kita ada hampir 56 inisiatif kerajaan negeri. Dan begitulah juga dengan peranan dalam kerajaan Persekutuan.

Kita adalah sebahagian daripada kerajaan itu. Kita telah buktikan perkara paling asas iaitu kebajikan rakyat. Kita belanjakan hampir RM15 bilion untuk kebajikan, terutamanya sumbangan kepada rakyat. 

Dalam masa sama, memang kita tahu ada lagi isu-isu terkait Melaka. Kita tahu calon-calon yang dikemukakan memiliki pelbagai latar belakang. Mereka sama ada daripada generasi yang paling muda sehingga bekas penjawat awam. Ada juga dalam kalangan mereka yang masih lagi berjawatan di peringkat kerajaan Persekutuan. Jadi, saya fikir semua pengalaman-pengalaman ini dapat kita adun sebagai suatu pengalaman yang boleh memberikan yang terbaik kepada rakyat. 

 

Kenapa PH bertanding di 24 kerusi sahaja? Ada persefahaman dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)?

Asalnya kita bertanding 21 kerusi tetapi bila lihat ada beberapa kerusi yang tidak ditandingi, jadi kita tidak akan memberikan ruang, bagi kita demokrasi harus ada dan rakyat harus memilih.

Sebab itu dari 21 itu kita ada tambahan tiga lagi kerusi menjadikan keseluruhan 24. Kita harap sokongan, jentera cari seramai mungkin pengundi untuk memberikan sokongan kepada PH.

 

Daripada 24 kerusi, berapa sasaran untuk dimenangi?

 Saya selalu menyebut PH tidak boleh menang hanya dengan sokongan ahli-ahli dalam tiga parti ini sahaja, sebaliknya memerlukan sokongan daripada rakyat Melaka.

Mungkin orang melihat ada persoalan yang dibangkitkan tentang kerjasama dan sebagainya tetapi bagi kawasan-kawasan yang PH tanding, sokongan kita bulat. 

Kita harap penyokong-penyokong kita dan rakyat Melaka memberi sokongan kepada PH. 

Bagi kawasan yang tidak kita tandingi seperti Pantai Kundor, kita sedar cabaran utama adalah persaingan antara PH, BN dan PN.  Ahli-ahli kita di kawasan yang tidak ditandingi sudah tentu bijak membuat pilihan masing-masing. 

Namun, prinsip integriti, nilai calon dan perpaduan mesti terus menjadi asas dalam menentukan sokongan. Perkara ini sentiasa kita tekankan kepada ahli supaya sokongan diberikan kepada calon yang memenuhi kriteria tersebut. 

Dalam masa sama, kita berharap sokongan kepada calon-calon PH dapat diperkukuh, khususnya di 24 kawasan yang menjadi fokus kita dalam PRN ini.

 

 Ada kerusi-kerusi yang diberikan lebih tumpuan?

Daripada 24 kerusi yang menjadi tumpuan, sebanyak 18 kerusi dikenal pasti sebagai kawasan fokus. Kita akan menilai perkembangan di setiap kawasan dari semasa ke semasa bagi melihat potensi pencapaian. 

Keutamaan kita adalah mempertahankan kerusi sedia ada selain berusaha menambah jumlah kerusi yang dimenangi. 

Bagaimanapun, pencapaian itu bergantung pada kekuatan kempen, kemampuan calon serta sokongan rakyat sepanjang tempoh pilihan raya.

 

Bukit Katil menjadi sasaran utama Pas. Komen YB?

Pas hanya bertanding di dua kerusi, berbanding Parti Amanah Negara (Amanah) yang meletakkan calon di tujuh kerusi. Jadi, tidak hairanlah penyokong Pas dapat berhimpun dalam jumlah yang ramai di Bukit Katil pada hari penamaan calon. Namun, perkara itu tidak menjejaskan keyakinan kita dan kita juga tidak memandang rendah keupayaan Pas.

Atas kertas, Pas mungkin mempunyai kelebihan. Jika undi PN dan BN digabungkan, kedudukan saya mungkin jauh ketinggalan. Bagaimanapun, pilihan raya mempunyai dinamik tersendiri. Pas juga perlu sedar sokongan yang diterimanya dalam pilihan raya lalu banyak dipengaruhi persaingannya dengan BN serta pendirian tegas parti itu terhadap isu rasuah. 

Apabila kini bekerjasama dengan BN, Pas dilihat mengorbankan prinsip yang selama ini diperjuangkannya. Perkara ini juga perlu dinilai oleh rakyat.

BN pula berdepan cabaran tersendiri, khususnya dalam menentukan sama ada mahu memberi ruang kepada Pas bertapak di Melaka. Ini kerana Pas juga merupakan antara pesaing utama BN. Jika ruang itu diberikan, BN perlu mempertimbangkan kesannya terhadap kedudukan dan masa depan parti di negeri ini. Bagi saya, saya hanya menawarkan khidmat kepada rakyat. –UTUSAN

The post BN sedang beri tapak kepada Pas di Melaka appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved