BN tidak tergesa-gesa adakan PRN negeri lain – Ahmad Zahid

LocalPolitics
16 Nov 2026 • 11:02 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: BN tidak tergesa-gesa adakan PRN negeri lain – Ahmad Zahid

BAGAN DATUK: Barisan Nasional (BN) tidak mahu tergesa-gesa mengadakan pilihan raya di negeri-negeri lain meskipun mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, baru-baru ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun berkata, pihaknya menyerahkan kepada Ketua Menteri dan Menteri Besar di negeri masing-masing untuk menilai kesesuaian mengadakan pilihan raya berdasarkan situasi semasa.

Katanya, keputusan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) juga perlu mengambil kira perkenan Sultan atau Yang diPertua Negeri di negeri berkenaan.

“Kita baru saja selesai Melaka. Jadi kita tidak mahu tergesa-gesa untuk mengadakan pilihan raya di negeri-negeri lain.

“Saya serahkan kepada Ketua Menteri ataupun Menteri Besar di negeri masing-masing untuk melihat bagaimana situasinya dan mempersembahkan serta memberi nasihat kepada Tuanku, Tuan Yang Terutama dan Yang diPertua Negeri jika ianya bersesuaian.

“Tetapi biarlah kita selesaikan satu persatu dahulu,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Wira Muda Negara Siri 4/2026, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN 3.0) di Kompleks Sukan Bagan Datuk, di sini hari ini.

Semalam, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi menggesa DUN Perak dan Pahang dibubarkan untuk membuka laluan pilihan raya ekoran kejayaan besar BN dalam tiga siri PRN

Malah menurut beliau, kejayaan formula kerjasama antara BN dan Perikatan Nasional (PN) juga berjaya menampakkan kejayaan menerusi kemenangan di PRN Melaka.

Pada Sabtu lalu,​ BN memenangi 21 kerusi dalam PRN Melaka sekali gus memperoleh majoriti dua pertiga dengan kekuatan sendiri manakala PN menambah tiga lagi kerusi kepada gabungan itu dan DAP pula memenangi baki empat kerusi untuk PH. – UTUSAN

The post BN tidak tergesa-gesa adakan PRN negeri lain – Ahmad Zahid appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved