
KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) meluluskan kira-kira RM2.8 bilion pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS (SME SRF), memanfaatkan lebih 4,900 akaun PKS yang terjejas akibat konflik di Asia Barat.
Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, kemudahan itu diperkenalkan bagi menyediakan sokongan modal kerja kepada perniagaan yang berdaya maju, termasuk usahawan mikro, bagi memastikan operasi dapat diteruskan berikutan gangguan ekonomi akibat konflik berkenaan.
“Walaupun tumpuan segera adalah kepada kestabilan jangka pendek, kita tidak boleh mengabaikan kepentingan daya tahan untuk jangka panjang,” katanya pada sidang akhbar prestasi ekonomi suku kedua 2026 di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia (BNM) di sini, hari ini.
SME SRF bernilai RM5 bilion itu diperkenalkan bank pusat pada 28 April lalu sebagai kemudahan pembiayaan bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang terjejas akibat konflik berterusan di Asia Barat.
Kemudahan berkenaan masih dibuka untuk permohonan sehingga akhir tahun ini atau sehingga peruntukan digunakan sepenuhnya.
Bagi menyokong usaha itu, BNM memperkenalkan skim jaminan bernilai RM10 bilion yang disalurkan menerusi Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC).
Skim itu bertujuan menggerakkan pembiayaan sektor swasta dengan lebih berkesan, dengan memberi tumpuan kepada aspek keterangkuman kewangan, iklim, produktiviti dan daya tahan.
Mengulas keadaan pembiayaan secara keseluruhan, Abdul Rasheed berkata, keadaan kekal menyokong, dengan aliran kredit kepada sektor perniagaan terus berkembang walaupun berdepan ketidaktentuan luaran.
“Secara keseluruhan, pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan meningkat kepada 6.4 peratus pada suku kedua 2026 berbanding 5.6 peratus pada suku pertama, khususnya dalam segmen perniagaan,” katanya.
Bon korporat berkembang 8.1 peratus pada suku kedua berbanding 5.9 peratus pada suku pertama, susulan peningkatan penerbitan bagi memenuhi keperluan modal kerja.
Pertumbuhan pinjaman perniagaan turut meningkat kepada 7.2 peratus daripada 5.7 peratus sebelumnya, disokong penyaluran pembiayaan yang berterusan merentasi segmen perniagaan.
Sementara itu, pertumbuhan pinjaman isi rumah kekal stabil pada 5.4 peratus sepanjang suku berkenaan berbanding 5.5 peratus pada suku pertama.
Abdul Rasheed berkata, keadaan pembiayaan bagi PKS juga kekal sihat dengan baki pembiayaan PKS meningkat 4.2 peratus pada suku kedua 2026.
“Aktiviti pembiayaan terus disokong oleh peningkatan kelulusan pembiayaan, khususnya bagi tujuan berkaitan pelaburan.
“Kadar kelulusan terus kukuh apabila bank memenuhi permintaan pembiayaan merentasi semua sektor, khususnya pertanian, perlombongan dan pengkuarian serta pembinaan,” katanya. – UTUSAN
The post BNM lulus RM2.8 bilion pembiayaan untuk PKS appeared first on Utusan Malaysia.





