
KUALA LUMPUR – Ketika ekonomi Malaysia secara keseluruhan dilihat berdaya tahan untuk menghadapi cabaran luaran, Bank Negara Malaysia (BNM) terus memperkukuhkan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam menghadapi ketidaktentuan global.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, menerusi Kemudahan Bantuan Penstabilan PKS (SME SRF), pembiayaan berjumlah RM5 bilion disediakan untuk dimanfaatkan PKS yang berdaya maju.
Jelasnya, ini bagi membantu PKS, termasuk perusahaan mikro yang berdepan gangguan operasi, cabaran aliran tunai dan kesukaran memenuhi obligasi kewangan jangka pendek susulan konflik di Asia Barat.
“Setakat 7 Ogos lalu, pembiayaan berjumlah RM2.8 bilion telah diluluskan yang memanfaatkan lebih daripada 4,900 akaun PKS.
“Kemudahan ini masih tersedia sehingga 31 Disember 2026, atau sehingga peruntukan habis,” katanya dalam sidang akhbar prestasi ekonomi Malaysia bagi suku tahun kedua 2026 di Sasana Kijang, di sini hari ini.
Pada suku kedua, ekonomi Malaysia berkembang enam peratus, didorong oleh permintaan dalam negeri yang berterusan serta eksport yang kukuh.
SME SRF menyediakan pembiayaan sehingga RM750,000 untuk tempoh sehingga lima tahun, pada kadar pembiayaan sehingga 3.75 peratus setahun.
Abdul Rasheed menambah, meskipun tumpuan segera adalah kepada kestabilan jangka pendek, pihaknya tidak mengabaikan kepentingan daya tahan untuk jangka panjang,
Untuk itu, jaminan pembiayaan berjumlah RM10 bilion disediakan di bawah Skim Jaminan BNM-CGC yang membolehkan pembiayaan mampan melalui pengaturan perkongsian risiko untuk menyingkap produktiviti, inovasi dan transformasi struktur PKS.
Bagi tempoh suku tahun kedua 2026, keadaan pembiayaan bagi PKS kekal sihat dengan baki pembiayaan PKS meningkat sebanyak 4.2 peratus. – KOSMO! ONLINE
The post RM5 bilion bantu PKS hadapi cabaran luaran appeared first on Kosmo Digital.





