
KUALA LUMPUR: Perniagaan di Malaysia berdepan tekanan kos yang lebih tinggi, namun permintaan yang masih berdaya tahan tetapi tidak berlebihan mengehadkan keupayaan mereka untuk memindahkan sepenuhnya peningkatan kos kepada pengguna.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, kira-kira 80 peratus perniagaan yang ditemui bank pusat memaklumkan tekanan kos sebagai antara isu utama yang sedang dihadapi.
Bagaimanapun, katanya, hanya kira-kira separuh daripada perniagaan terbabit menyatakan kemungkinan untuk memindahkan peningkatan kos kepada pengguna, manakala sebahagian yang berhasrat berbuat demikian dijangka hanya memindahkannya secara sebahagian.
“Hampir 80 peratus mengalami tekanan kos yang lebih tinggi. Namun, daripada 80 peratus itu, kira-kira 50 peratus berkata mereka mungkin memindahkan kos tersebut kepada pengguna,” katanya pada sidang media selepas pengumuman data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua 2026, hari ini.
Abdul Rasheed berkata, permintaan yang secara relatifnya sederhana menjadi antara faktor perniagaan berhati-hati untuk menaikkan harga.
“Permintaan masih berdaya tahan, tetapi tidak berlebihan. Oleh itu, tingkah laku penetapan harga oleh perniagaan turut dipengaruhi oleh pemindahan kos yang boleh memberi kesan kepada jualan.
“Selain itu, sokongan dasar bersasar kerajaan masih diteruskan dan ini juga akan mengurangkan pemindahan kos,” katanya.
Abdul Rasheed berkata, tekanan kos lebih tinggi setakat ini tertumpu terutama pada peringkat huluan pengeluaran, manakala kesannya terhadap harga pengguna masih agak terhad.
Bagaimanapun, katanya, BNM akan terus memantau kesan peningkatan harga komoditi dan makanan, khususnya berikutan ketidaktentuan susulan konflik di Asia Barat.
“Kita perlu melihat kesan terhadap harga komoditi dan makanan serta bagaimana perkara ini seterusnya akan mempengaruhi harga di Malaysia,” katanya.
Tambahnya, bank pusat akan terus berwaspada terhadap sejauh mana peningkatan kos akhirnya diterjemahkan kepada kenaikan harga yang ditanggung pengguna. – UTUSAN
The post Tekanan kos meningkat, kesan kepada pengguna masih terhad – BNM appeared first on Utusan Malaysia.






