PM mahu pertumbuhan ekonomi 5.5% beri manfaat kepada rakyat menerusi Belanjawan 2027

LocalBusiness & Finance
18 Nov 2026 • 2:41 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PM mahu pertumbuhan ekonomi 5.5% beri manfaat kepada rakyat menerusi Belanjawan 2027 Image from: PM mahu pertumbuhan ekonomi 5.5% beri manfaat kepada rakyat menerusi Belanjawan 2027 sarah18/11/2026 - 14:41 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Nov - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 5.5% pada suku ketiga 2026 diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup rakyat menerusi Belanjawan 2027, termasuk pengukuhan bantuan, pengurangan cukai pendapatan individu dan penambahbaikan perkhidmatan awam.

 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pencapaian ekonomi yang kukuh tidak membawa makna sekiranya manfaat pertumbuhan itu gagal dirasai oleh rakyat, khususnya dalam menghadapi tekanan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi global.

 

“Namun, segala pencapaian ini tidak membawa erti sekiranya kita alpa akan usaha menaikkan lantai demi kesejahteraan rakyat terbanyak.

 

“Melalui Belanjawan 2027, Kerajaan MADANI memperkukuh bantuan, mengurangkan kadar cukai pendapatan individu bagi golongan yang layak serta menambah baik perkhidmatan awam. Kita tidak akan lelah memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup dan peluang yang lebih luas untuk rakyat,” katanya dalam kenyataan Kementerian Kewangan (MOF).

 

Ekonomi Malaysia di landasan tumbuh lebih 5%

Menurut MOF, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.5% pada suku ketiga 2026 meningkatkan pertumbuhan ekonomi bagi sembilan bulan pertama tahun ini kepada 5.6%, berbanding 4.8% dalam tempoh sama tahun lalu, sekali gus meletakkan Malaysia di landasan untuk berkembang melebihi 5% bagi tahun ketiga berturut-turut.

 

Prestasi itu disokong permintaan domestik yang meningkat 4.8% serta lonjakan eksport sebanyak 46%, dipacu permintaan terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) yang berkembang 62.1% susulan pertumbuhan industri teknologi global.

 

Malaysia turut mencatat nilai eksport bulanan tertinggi dalam sejarah sebanyak RM215.1 bilion pada September 2026, sekali gus melepasi paras RM200 bilion buat pertama kali.

 

Pengangguran turun, inflasi kekal terkawal

Dalam perkembangan berkaitan, kadar pengangguran negara menurun kepada 2.9% pada September 2026 berbanding 3.0% setahun sebelumnya, manakala inflasi kekal terkawal pada 1.8%, mencerminkan perkembangan positif pasaran pekerjaan dan kestabilan harga.

 

Anwar berkata, langkah kerajaan memastikan kestabilan ekonomi dan bekalan bahan api susulan krisis Asia Barat turut membantu Malaysia mengekalkan pertumbuhan meskipun berdepan ketidaktentuan luar.

 

Beliau berkata, kerajaan kekal optimis terhadap prospek ekonomi 2027, namun akan terus berwaspada terhadap ketegangan geopolitik dan risiko berkaitan iklim, sambil memberi tumpuan kepada peningkatan pelaburan, pembangunan infrastruktur serta disiplin fiskal bagi memastikan pertumbuhan ekonomi memberi manfaat lebih luas kepada rakyat. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved