sarah18/11/2026 - 12:00 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Nov - Ekonomi Malaysia dijangka berkembang melebihi 5% pada 2026 dan memasuki tahun 2027 pada kedudukan yang kukuh, disokong oleh prestasi eksport, pelaburan serta permintaan domestik yang berterusan, menurut Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Beliau berkata, ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.6% bagi sembilan bulan pertama 2026, sekali gus menyediakan asas yang positif untuk mengekalkan momentum pertumbuhan menjelang tahun depan.
“Malaysia mencatatkan pertumbuhan yang kukuh sebanyak 5.6% pada sembilan bulan pertama tahun 2026 berikutan prestasi eksport yang mantap dan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan. Oleh itu, ekonomi Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan melebihi 5% pada tahun 2026.
“Pada masa hadapan, ekonomi negara dalam keadaan bersedia untuk memulakan tahun 2027 pada kedudukan yang kukuh, disokong oleh asas ekonomi yang teguh dan prospek ekonomi yang positif,” katanya pada taklimat media mengenai perkembangan ekonomi dan kewangan Malaysia bagi suku ketiga 2026, hari ini.

KDNK berkembang 5.5% pada suku ketiga
Ekonomi Malaysia berkembang 5.5% pada suku ketiga 2026 berbanding 6.0% pada suku sebelumnya, dipacu oleh eksport produk teknologi khususnya elektrik dan elektronik (E&E), selain permintaan domestik serta aktiviti pelaburan yang berterusan.
Menurut BNM, pertumbuhan sektor pembuatan terus mendapat manfaat daripada permintaan global terhadap produk berkaitan kecerdasan buatan (AI), manakala perbelanjaan isi rumah disokong oleh keadaan pasaran pekerjaan yang menggalakkan dan pertumbuhan pendapatan yang stabil.
Pelaburan dan eksport sokong pertumbuhan 2027
Abdul Rasheed berkata, prospek ekonomi turut disokong oleh permintaan global terhadap produk teknologi dan komoditi utama, selain perkembangan sektor pelancongan serta perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Beliau berkata, aktiviti pelaburan domestik dijangka terus berkembang menerusi pelaksanaan projek berbilang tahun sektor awam dan swasta serta pelaburan yang telah diluluskan, manakala perbelanjaan isi rumah akan mendapat manfaat daripada pertumbuhan pendapatan dan langkah Belanjawan 2027.
Inflasi dijangka meningkat pada awal 2027
BNM turut menjangkakan inflasi meningkat secara beransur-ansur menjelang akhir 2026 dan pada awal 2027 berikutan kesan kenaikan kos input yang dipindahkan kepada harga pengguna, namun tekanan harga secara keseluruhan dijangka kekal terkawal dengan sokongan subsidi bahan api bersasar dan permintaan domestik yang stabil.
Pada suku ketiga 2026, inflasi keseluruhan kekal pada 1.9%, manakala inflasi teras menurun kepada 1.7% daripada 1.9% pada suku sebelumnya. BNM mengekalkan unjuran inflasi keseluruhan antara 1.5% hingga 2.5% bagi 2026, sementara ringgit kekal secara relatif stabil berbanding dolar Amerika Syarikat dan mata wang rakan dagangan utama. - DagangNews.com






