
PUTRAJAYA - Terma rujukan pasukan petugas khas bagi menyiasat dakwaan kegiatan mafia korporat akan dibentangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan perkara itu kepada Jemaah Menteri pada mesyuarat hari ini.
“Perdana Menteri memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa berhubung isu mafia korporat, terma rujukan pasukan petugas khas yang akan menyiasat dakwaan berkenaan akan dibentangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan,” katanya pada sidang media pasca-Mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.
Dalam perkembangan berasingan, kerajaan mengarahkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Prosignal Consortium Sdn Bhd memberikan penjelasan terperinci berhubung masalah yang dihadapi aplikasi navigasi tempatan, TuJu.
Fahmi berkata, penjelasan itu perlu merangkumi punca gangguan, aspek teknikal, prestasi semasa aplikasi serta langkah pembetulan dan penambahbaikan yang sedang atau akan dilaksanakan.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan aduan pengguna ditangani secara menyeluruh dan kebolehpercayaan aplikasi berkenaan dapat ditingkatkan.
Menurutnya, TuJu dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada 26 November 2025, manakala LLM turut mengakui pengguna berdepan masalah ketika menggunakan aplikasi itu.
LLM juga memaklumkan kepada kerajaan bahawa usaha menambah baik aplikasi berkenaan sedang dilaksanakan.
“Bagaimanapun, LLM dan Prosignal Consortium Sdn Bhd perlu memberikan penjelasan khusus dan terperinci mengenai isu yang dibangkitkan pengguna, termasuk punca masalah, aspek teknikal, status prestasi semasa aplikasi serta langkah pembetulan dan proses penambahbaikan yang sedang atau dirancang untuk dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, Fahmi berkata, Jemaah Menteri dimaklumkan bahawa setakat ini tiada syarikat Malaysia dikenal pasti terbabit dalam kegiatan pembakaran hutan di Indonesia.
Beliau berkata, kerajaan mengambil maklum tindakan pihak berkuasa Indonesia terhadap 11 syarikat berhubung isu kebakaran hutan di negara jiran itu.
“Setakat ini, tiada syarikat Malaysia dikesan terbabit dalam kegiatan pembakaran hutan di Indonesia,” katanya.
Menurutnya, Malaysia bersedia membantu Indonesia menangani kebakaran berkenaan, termasuk menyediakan aset sekiranya diperlukan.
Bagaimanapun, Kementerian Luar dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam masih menunggu maklum balas lengkap daripada Indonesia berhubung bentuk bantuan yang boleh diterima negara itu.
Fahmi berkata, kerajaan akan terus memantau perkembangan berkenaan, khususnya kesannya terhadap kualiti udara dan risiko pencemaran rentas sempadan.
Beliau turut menegaskan kepentingan mengekalkan hubungan diplomatik yang baik antara Malaysia dan Indonesia, termasuk menerusi kerjasama dalam menangani isu yang memberi kesan kepada kedua-dua negara. - Getaran, 23 Oktober 2026






