Pemandu e-hailing rayu Menteri Sumber Manusia benarkan penubuhan kesatuan sekerja

LocalPolitics
28 Oct 2026 • 10:20 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pemandu e-hailing rayu Menteri Sumber Manusia benarkan penubuhan kesatuan sekerja Image from: Pemandu e-hailing rayu Menteri Sumber Manusia benarkan penubuhan kesatuan sekerja hamden28/10/2026 - 10:20 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 Okt - Sekumpulan pemandu e-hailing merayu kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan supaya membenarkan penubuhan kesatuan sekerja itu bagi memperjuangkan hak, kebajikan dan terma pekerjaan yang adil untuk kumpulan berkenaan.

 

Jurucakap kumpulan berkenaan, Zulkifli Othman berkata rayuan itu dikemukakan pada 14 Oktober 2026 susulan penolakan permohonan pendaftaran kesatuan itu oleh Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja melalui surat bertarikh 26 Ogos 2026.

 

"Kami mahu mewakili kepentingan pemandu e-hailing di Semenanjung Malaysia serta mendapatkan akses kepada mekanisme perundingan kolektif bagi memperjuangkan pendapatan dan terma pekerjaan yang adil.

 

"Keputusan berkaitan tambang, potongan, syarat penggunaan platform dan penggantungan akaun memberi kesan langsung kepada mata pencarian pemandu, justeru mereka perlu mempunyai suara dalam perkara berkenaan," katanya dalam kenyataan.

 

Menurut Zulkifli, Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja menolak permohonan itu atas alasan pemandu e-hailing tidak memenuhi takrifan “pekerja” di bawah Seksyen 2 Akta Kesatuan Sekerja 1959 kerana hubungan mereka dengan penyedia platform dianggap berasaskan perjanjian perkhidmatan gig dan bukannya kontrak pekerjaan.

 

Tambahnya, jabatan itu turut berpandangan pemandu tidak memenuhi syarat keanggotaan kesatuan di bawah Seksyen 26(1A), selain menyimpulkan permohonan NUEW tidak lengkap dan tidak teratur berdasarkan Seksyen 12(3)(d) akta berkenaan.

 

Pemandu adalah pekerja bukan kontraktor bebas

"Bagaimanapun, kami menolak pengelasan pemandu sebagai kontraktor bebas atau pekerja gig yang menjalankan perniagaan secara bebas, sebaliknya berpendirian bahawa mereka ialah pekerja yang berhak mendapatkan perwakilan melalui kesatuan sekerja.

 

"Penilaian terhadap hubungan pekerjaan perlu mengambil kira realiti operasi dan tahap kawalan pihak platform, bukannya bergantung semata-mata pada gelaran seperti “rakan pemandu”, “kontraktor bebas” atau “pekerja gig”," katanya.

 

Zulkifli turut menegaskan fleksibiliti waktu bekerja dan kebolehan menggunakan lebih daripada satu platform tidak sepatutnya menjadi alasan tunggal untuk menafikan status seseorang sebagai pekerja.

 

Sebaliknya, tahap kawalan serta kewajipan yang dikenakan ketika pemandu menjalankan tugas perlu dinilai secara bersama.

 

United Kingdom, New Zealand iktiraf pemandu Uber sebagai pekerja

Zulkifli berkata, pihaknya turut merujuk keputusan mahkamah di United Kingdom dan New Zealand yang meneliti status pemandu Uber berdasarkan hubungan sebenar serta kawalan pihak platform.

 

"Pemandu Uber diiktiraf sebagai “workers” di United Kingdom dan “employees” di New Zealand di bawah undang-undang masing-masing, sekali gus menunjukkan kepentingan menilai realiti pekerjaan walaupun kerangka perundangan berbeza," katanya.

 

Zulkifli berkata, pihaknya berpandangan penubuhan persatuan bukan pengganti kepada kesatuan sekerja kerana kedua-duanya tidak mempunyai kedudukan yang sama dalam mekanisme perundingan kolektif.

 

"Kami mengambil maklum kenyataan terdahulu Kementerian Sumber Manusia bahawa pekerja gig boleh menubuhkan persatuan, selain perlindungan hak berkenaan di bawah Seksyen 10 Akta Pekerja Gig 2025.

 

"Bagaimanapun, persatuan yang berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 tidak mempunyai kedudukan yang sama seperti kesatuan sekerja dalam mekanisme perundingan kolektif di bawah Akta Perhubungan Perusahaan 1967," katanya.

 

Berdasarkan data kerajaan bagi Disember 2025, terdapat kira-kira 164,000 pemandu e-hailing berdaftar di Malaysia. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved