Boleh Ke Ibu Bapa Beri Bayi Makan Buah Durian? Ini Penjelasannya

FoodFamily & Parenting
17 Jul 2025 • 1:11 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Buat penggemar buah-buahan tempatan, pasti ramai yang perasan sekarang sedang berlangsungnya musim durian.

Lihat sahajalah, terdapat banyak gerai tepi jalan yang menjual raja buah ini lebih-lebih lagi di kawasan perkampungan.

Bagi segelintir ibu bapa, ada yang berani memperkenalkan buah durian kepada bayi mereka lebih-lebih lagi yang berusia bawah 2 tahun.

Namun, adakah durian sebenarnya sesuai dan boleh dimakan oleh si cilik ini? Ini penjelasannya.

Boleh Kenalkan Durian Seawal Usia 6 Bulan Tetapi Dengan Kuantiti Sederhana

Menurut seorang bekas doktor perubatan yang juga penulis buku pemakanan bayi, Amalina Mohd Daud, durian boleh diberi kepada bayi seawal usia enam bulan ketika si cilik telah mula makan makanan pejal (weaning).

Ini kerana jelasnya, durian kaya dengan karbohidrat, vitamin B, protein, lemak, mineral dan antioksidan.

Namun, kuantiti yang diberi haruslah dalam kadar yang sederhana mengikut usia bayi itu sendiri.

“Sebelum ini saya percaya bahawa durian sepatutnya diperkenalkan lewat kerana ia sangat manis.

“Tetapi sebenarnya kerana kita ingin memperkenalkan pelbagai jenis makanan, kita harus memberi peluang durian untuk berada dalam mulut bayi kita,” tulisnya menerusi satu hantaran di Instagram.

Durian Sesuai Diambil Jika Si Cilik Berusia Setahun Hingga 3 Tahun Ke Atas

Namun menurut laman The Asian Parent, buah durian tidak sesuai buat bayi yang berusia bawah setahun.

Ini kerana kandungan gula yang tinggi dalam raja buah berkenaan tidak sesuai diambil oleh si cilik berusia bawah umur tersebut.

Ini kerana golongan umur sebegini tidak digalakkan mengambil makanan yang tinggi gula dan garam kerana boleh membahayakan mereka.

Malah, pengambilan makanan yang bergula atau garam juga perlu disesuaikan dengan fungsi buah pinggang bayi.

Jika terlebih makan, ia boleh menyebabkan buah pinggang perlu bekerja lebih dari kebiasaan.

Malah, kandungan gula yang tinggi dalam buah durian juga boleh menyebabkan anak terlampau aktif selepas menikmatinya selain boleh menimbulkan rasa tidak selesa kepada perut bayi dek kerana sifatnya yang ‘panas’ jika diambil secara berlebihan.

Pun begitu, laman berkenaan menjelaskan pengambilan buah durian dibolehkan jika diberi kepada si kecil berusia setahun ke atas asalkan kuantitinya adalah terkawal.

Boleh Beri Kesan Kepada Perut Bayi

Berbeza dengan Laman Web Clea Doc pula, durian seharusnya diberi kepada si kecil bermula usia dua hingga tiga tahun.

Ini kerana pengambilan buah berkenaan bagi bayi di bawah usia tersebut boleh menyebabkan masalah pencernaan, kembung perut dan sembelit dek kerana serat tinggi yang terdapat dalam durian apatah lagi sistem penghadaman kebanyakan bayi masih belum matang.

Cara Perkenalkan Durian Kepada Bayi Seawal Usia 6 Bulan

Namun, jika ada yang mahu memperkenalkan bayi dengan durian seawal usia 6 bulan, Amalina ada menunjukkan cara yang sesuai.

Caranya adalah dengan mengasingkan isi dan biji. Kemudian, lenyekkan isi durian sebelum diberi kepada bayi.

Tetapi harus diingatkan, hanya beri dengan kuantiti yang sederhana sesuai dengan usia bayi sahaja ye.

Source: