Boling padang negara selangkah genggam dua emas

28 Jul 2026 • 10:34 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Boling padang negara selangkah genggam dua emas

GLASGOW: Arena boling padang di Scottish Event Campus (SEC) terus menjadi gelanggang gemilang buat Malaysia apabila dua lagi wakil negara berjaya mengesahkan tempat ke pentas akhir Sukan Komanwel Glasgow 2026, hari ini.

Jaguh perseorangan lelaki negara, Izzat Shameer Dzulkeple hanya selangkah lagi untuk menghadiahkan pingat emas selepas menyingkirkan wakil Australia, Aaron Wilson dalam aksi separuh akhir yang mendebarkan.

Izzat terpaksa mengharungi penentuan tie-break sebelum menang 1-0 selepas kedua-dua pemain terikat 1-1 sebaik tamat perlawanan, sekali gus mengesahkan kemaraan ke final.

Kejayaan itu meneruskan rentak cemerlang kem boling padang negara yang turut menyaksikan pasangan wanita, Aleena Ahmad Nawawi dan Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman, mengikut jejak langkah ke perlawanan penentuan pingat emas.

Image from: Boling padang negara selangkah genggam dua emas
PASANGAN wanita negara, Aleena Ahmad Nawawi dan Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman bakal berdepan satu lagi cabaran getir apabila turun menentang pasangan England, Amy Pharaoh-Sian Honnor, bagi menentukan juara acara berpasangan wanita.-IHSAN MSN

Gandingan negara itu dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan pasangan Ireland Utara, Chloe Wilson-Shauna O’Neill, menerusi kemenangan 1-0 dalam tie-break selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Kedua-dua kemenangan tersebut meletakkan Malaysia hanya selangkah lagi untuk menambah dua lagi pingat emas dalam temasya kali ini.

Izzat dijadual membuat perhitungan dengan wakil England, Sam Tolchard, dalam aksi final perseorangan lelaki sementara Aleena-Syafiqa bakal berdepan satu lagi cabaran getir apabila turun menentang pasangan England, Amy Pharaoh-Sian Honnor, bagi menentukan juara acara berpasangan wanita.

Kemaraan dua wakil negara ke pentas final turut menghidupkan harapan kontinjen Malaysia untuk terus menambah koleksi emas di Glasgow sekali gus mengukuhkan pencapaian cemerlang pasukan boling padang pada temasya kali ini.-UTUSAN

The post Boling padang negara selangkah genggam dua emas appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved