
BERAKSI dengan 10 pemain bukan penghalang buat Bomba FC mencipta sejarah apabila menjuarai Piala Emas Raja-Raja (PERR) buat kali pertama selepas menewaskan Negeri Sembilan 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi final edisi ke-104 di Arena Universiti Malaya (UM), malam tadi.
Kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas 120 minit permainan, namun Bomba FC mempamerkan ketenangan ketika penentuan sepakan penalti untuk memastikan trofi bersejarah itu menjadi milik mereka.
Penjaga gol, Muhammad Firdaus Mohd Kamal muncul watak penting apabila menepis dua sepakan penalti Negeri Sembilan, sekali gus memusnahkan harapan lawan memburu kejuaraan pertama sejak 2015.
Bomba FC terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti Muhammad Nor Hakimi Hasbullah pada babak pertama sebelum Negeri Sembilan mengikat kedudukan menerusi Muhammad Amirul Farhan selepas rehat.
Situasi Bomba FC semakin mencabar apabila seorang pemain dilayangkan kad merah, namun kekurangan seorang pemain gagal dimanfaatkan Negeri Sembilan sehingga tamat masa tambahan.
Pengendali Bomba FC, Mazerul Mohd Mohayudin menyifatkan kejayaan itu sebagai ganjaran kepada kerja keras serta pengorbanan pemain yang memberikan segala-galanya sepanjang kejohanan.
“Pemain memberikan sepenuhnya dalam kejohanan ini, malah pada final juga mereka memberikan lebih 100 peratus.
“Walaupun kami terpaksa bermain dengan 10 orang, komitmen semua pemain akhirnya membuahkan hasil,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Amirul Farhan terpilih sebagai Pemain Terbaik PERR 2026.
Sebagai juara, Bomba FC membawa pulang wang tunai RM40,000 berserta piala pusingan dan pingat, manakala Negeri Sembilan menerima RM20,000 sebagai naib juara.
The post Bomba FC cipta sejarah ungguli PERR 2026 appeared first on Kosmo Online.






