Sukan Asia: Sembilan emas bukan noktah

6 Oct 2026 • 8:10 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sukan Asia: Sembilan emas bukan noktah

SEMBILAN emas dibawa pulang dari Sukan Asia 2026 Aichi-Nagoya yang menyamai pencapaian terbaik Malaysia dalam sejarah Sukan Asia selepas 16 tahun bukanlah noktah buat kontinjen negara.

Sebaliknya, ia bakal menjadi landasan untuk kontinjen negara mengejar dua misi lebih besar iaitu bergelar juara keseluruhan Sukan SEA 2027 dan memburu emas pertama Olimpik di Los Angeles 2028 (LA28).

Kontinjen negara menutup tirai Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dengan sembilan emas, tujuh perak dan 16 gangsa, sekali gus melepasi sasaran awal enam emas serta menyamai rekod terbaik sembilan emas yang dicatatkan pada edisi Guangzhou 2010.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin menyifatkan pencapaian itu sebagai petunjuk positif bahawa pembangunan sukan berprestasi tinggi negara berada pada landasan tepat, namun menegaskan kejayaan di Jepun perlu menjadi pemangkin dan bukannya alasan untuk berpuas hati.

“Bagi MSN, pencapaian ini bukan noktah. Ia pemangkin untuk kita terus memperkukuh program pembangunan atlet, meningkatkan kualiti persiapan dan membina barisan atlet yang mampu bersaing secara konsisten di pentas antarabangsa.

“Kita meraikan kejayaan hari ini, tetapi pada masa yang sama, kita perlu melihat ke hadapan. Setiap kejayaan harus menjadi asas untuk kita bekerja lebih keras, memperbaiki kelemahan dan membina kejayaan lebih besar pada masa akan datang,” katanya.

Menurut Jefri, momentum Aichi-Nagoya kini perlu diterjemahkan kepada misi seterusnya apabila Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027 sebelum tumpuan beralih kepada LA28.

“Fokus seterusnya adalah untuk memastikan momentum ini diteruskan, bermula dengan mengejar sasaran muncul juara keseluruhan temasya Sukan SEA 2027 yang akan dilangsungkan di tanah air sendiri sebelum kita memperkasakan lagi persiapan bagi menghadapi temasya utama, Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28),” tambah Jefri.

Skuasy muncul penyumbang terbesar dengan empat emas, diikuti karate dengan dua, manakala berbasikal trek, sepak takraw dan e-sukan masing-masing menghadiahkan satu emas untuk melengkapkan pencapaian sembilan emas negara.

Lebih manis, kejayaan Ng Eain Yow dan S. Sivasangari meraih emas perseorangan lelaki serta wanita turut menjadikan mereka dua pemain skuasy pertama negara melayakkan diri ke LA28 menjelang penampilan sulung sukan itu di pentas Olimpik.

Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia, Datuk Sumali Reduan berkata, pencapaian keseluruhan itu wajar diraikan selepas kontinjen negara bukan sahaja melepasi sasaran, malah kembali menyamai tahap tertinggi yang pernah dicapai pada temasya sukan terbesar Asia itu.

“Tahniah kepada seluruh Kontinjen Malaysia, kita bukan sahaja berjaya melepasi sasaran awal enam pingat emas, malah sembilan pingat emas ini menyamai pencapaian terbaik Malaysia sejak Sukan Asia Guangzhou 2010, 16 tahun lalu,” katanya.

Bagaimanapun, Sumali mengingatkan kejayaan tersebut tidak harus menutup ruang penilaian terhadap beberapa sukan yang masih memerlukan penambahbaikan.

“Walaupun kita berjaya melepasi sasaran pingat emas, kita tidak boleh berhenti di sini. Ada pencapaian yang boleh kita banggakan dan ada juga beberapa sukan yang perlu dinilai dan diperbaiki. Segala pengalaman dan pengajaran daripada Aichi-Nagoya 2026 perlu kita gunakan untuk menjadi lebih baik,” katanya.

Sumali berharap pencapaian di Aichi-Nagoya menjadi pembakar semangat kepada sukan negara untuk meneruskan momentum tersebut, khususnya menjelang Sukan SEA Malaysia 2027 yang kini menjadi medan terdekat buat kontinjen negara memburu satu lagi kejayaan besar.

The post Sukan Asia: Sembilan emas bukan noktah appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved