Bomba guna khidmat Frankie jejak Muhamad Rayyan

13 Aug 2026 • 1:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bomba guna khidmat Frankie jejak Muhamad Rayyan
JBPM Kelantan menggunakan khidmat anjing pengesan dari Unit K9 yang dikenali sebagai Frankie mengesan Muhamad Rayyan yang dikhuatiri lemas di Sungai Kelantan berhampiran Kampung Batu Mengkebang, Jalan Batu Lada, Aur Duri, Kuala Krai pada Khamis.

KUALA KRAI - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan menggunakan khidmat anjing pengesan dari Unit K9 yang dikenali sebagai Frankie mengesan Muhamad Rayyan Hakimie Mohd Yusmiza, 14, yang dikhuatiri lemas.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi negeri, Mohd Fadhlizil Ikram Ahmad Pauzi, berkata, Frankie merupakan antara usaha mereka untuk mengesan pelajar Tingkatan Dua itu di sepanjang pesisir sungai.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi pelajar yang dikhuatiri lemas di Sungai Kelantan sudah memasuki hari ketiga dan radius pencarian diperluaskan hingga ke empat kilometer.

"Operasi SAR bermula jam 8 pagi tadi dan memberi tumpuan kepada pencarian secara menyelusuri sungai selain kaedah selaman di beberapa lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian pada Khamis.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan dua pelajar Tingkatan Dua dikhuatiri lemas selepas dipercayai mandi bersama tiga lagi rakan di Sungai Kelantan berhampiran Kampung Batu Mengkebang, Jalan Batu Lada, Aur Duri di sini pada Selasa.

Dua remaja berkenaan dikenali sebagai Mohamad Rayyan dan Luth Naiman masing-masing berusia 14 tahun.

Luth Naiman telah ditemukan pada Rabu sekitar jam 9.10 pagi pada jarak 50 meter dari lokasi dia dikatakan hilang.

Menurut Mohd Fadhlizil Ikram, seramai 63 anggota dan sukarelawan membabitkan JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta penduduk kampung membantu operasi SAR menggunakan 12 buah bot.

Ujarnya, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) turut digerakkan dengan kekuatan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Machang, Pengkalan Kubor dan Pengkalan Chepa bagi menjalankan operasi selaman.

Kata beliau, SAR yang dijalankan berdepan beberapa kesukaran, terutama keadaan arus sungai yang deras serta peningkatan paras air yang menyukarkan pergerakan anggota serta proses pencarian mangsa terutama di dasar sungai.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved