Sangka anak pulang lewat, rupanya lemas di Sungai Kelantan

12 Aug 2026 • 3:09 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sangka anak pulang lewat, rupanya lemas di Sungai Kelantan

KUALA KRAI – Seorang ibu yang menyangka anaknya pulang lewat ke rumah selepas bermain bersama rakan-rakan dikejutkan dengan berita mangsa lemas ketika mandi di Sungai Kelantan, dekat Kampung Aur Duri, di sini semalam.

Noraziyawani Abu Bakar, 43, berkata, anaknya, Muhammad Lut Naiman Mohd. Noor Aziron, 14, keluar bermain pada waktu petang seperti biasa sebelum salah seorang rakannya datang ke rumah selepas waktu maghrib dan memaklumkan kejadian itu.

“Saya sangka Naim (Lut Naiman) pulang lewat kerana cuaca ribut dan hujan sebelum kami sekeluarga dikejutkan dengan kejadian itu. Saya gelisah sebelum kejadian, rupa-rupanya petanda dia akan pergi buat selamanya.

“Saya bersyukur mayat anak dijumpai pagi tadi. Sebelum kejadian, Naim maklumkan nak keluar bersama rakan dan meronda di kawasan kampung tanpa beritahu akan ke sungai,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini hari ini.

Noraziyawani memberitahu, sebelum ini, anaknya memaklumkan pernah ke Sungai Kelantan bersama rakannya, namun tidak menceritakan dengan jelas mengenai perkara itu.

“Arwah tidak menunjukkan perubahan sikap sebelum kejadian dan Naim sentiasa bermain bersama adik-adiknya seperti biasa.

“Dia juga seorang yang pendiam. Kami sekeluarga tidak menyangka tragedi itu berlaku, namun reda dengan ketentuan yang telah ditetapkan Allah SWT,” ujarnya.

Noraziyawani berkata, jenazah anaknya akan dikebumi di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Sungai Durian, di sini. – KOSMO! ONLINE

The post Sangka anak pulang lewat, rupanya lemas di Sungai Kelantan appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved