
KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan telah mengenal pasti 38 kawasan titik panas kebakaran terbuka sebagai persediaan pada musim kemarau ini.
Pengarahnya Zainal Madasin berkata kesemua kawasan itu terletak di lima daerah iaitu Bachok, Pasir Puteh, Kota Bharu, Pasir Mas dan Gua Musang.
Beliau berkata kebiasaannya kawasan yang sering berlaku kebakaran terbuka ialah kawasan lalang, belukar, tempat pembuangan sampah, kebun getah, kebun sawit, tanah gambut dan kawasan yang terdapat banyak pokok ru.
“Kawasan ini biasanya luas seperti di kawasan pantai di Bachok dan Pasir Puteh, kami berharap tiada penduduk yang membuat pembakaran terbuka sehingga tidak terkawal,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke rumah anggota bomba Kelantan Mohd Amazun Mohd Noor, 54, yang mempunyai isteri menghidap penyakit buah pinggang dan tiga anak Orang Kurang Upaya (OKU) di Kampung Padang Mokkan, Ketereh, di sini hari ini.
Mengulas lanjut Zainal berkata pada tahun lepas ada beberapa kes kebakaran secara tidak sengaja seperti berpunca daripada pembuangan puntung rokok oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Berikutan itu beliau berkata dengan keanggotaan seramai 1,300 termasuk daripada Pegawai Bomba Sukarela, pihaknya yakin dapat mengawal api jika berlaku kebakaran.
“Kali terakhir pembakaran terbuka yang berlaku adalah di tempat pembuangan sampah di Lubuk Jong, Pasir Mas di kawasan berkeluasan 0.5 hektar.
“Kebakaran itu bagaimanapun berjaya diatasi namun di musim kemarau sekarang kita sentiasa bersedia jika menerima panggilan kebakaran melibatkan kawasan terbuka yang luas,” katanya. -Bernama
