Bot jadi nadi enam kampung di Kuala Krai

1 Aug 2026 • 10:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Bot jadi nadi enam kampung di Kuala Krai

KUALA KRAI: Di sebalik arus pembangunan, bot penambang masih menjadi nadi perhubu­ngan penduduk di enam kampung pedalaman di sini.

Apa tidaknya, pengangkutan air itu merupakan satu-satunya pilihan untuk membawa guru, murid, pelajar, pesakit dan penduduk keluar masuk kampung bagi menguruskan kehidupan seharian.

Ia digunakan setiap hari oleh penduduk Kampung Johal, Kampung Bahagia, Kampung Mambong, Kampung Keluat, Kampung Berhala Sungai Rimau dan Kampung Raba.

Namun, setiap kali musim tengkujuh, perjalanan menjadi lebih mencabar apabila arus Sungai Kelantan bertambah deras sehingga memaksa pengusaha bot mengehadkan jumlah penum­pang daripada 15 orang kepada 10 orang bagi setiap perjalanan demi keselamatan.

Penghulu Kampung Mukim Mambong, Mohd. Zain Abdul Rajid berkata, ketika cuaca tidak menentu, pengusaha bot perlu lebih berhati-hati kerana arus sungai membawa ranting kayu, pokok dan pelbagai objek hanyut yang boleh mengundang bahaya.

“Penduduk di kampung sekitar sudah lali dengan keadaan ini setiap kali musim tengkujuh.

“Sebagai persediaan, mereka membeli barangan keperluan dapur lebih awal untuk dijadikan stok selama satu hingga dua ming­gu bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mohd. Zain berkata, perjalanan menaiki bot ke kampung mengambil masa antara 15 hingga 45 minit, malah ketika musim tengkujuh pengusaha bot turut berhempas pulas membawa penumpang yang sakit atau wanita yang mahu bersalin pada waktu malam.

Sementara itu, pengusaha bot penambang, Zakaria Mohd. Daud, 61, berkata, antara pe­nga­laman paling mencabar adalah membawa penumpang yang demam pada pukul 3 pagi ketika hujan bagi mendapatkan rawatan di hospital.

“Dalam keadaan gelap saya perlu lebih berwaspada demi keselamatan penumpang tanpa mengira waktu dan cuaca,” katanya.

Zakaria berkata, walaupun sudah lebih empat dekad, aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan dan dia bersyukur kerana tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)Sultan Yahya Petra 1, Noramira­zati Mohd. Nor, 14, berkata, dia menaiki bot setiap hari seawal pukul 6.45 pagi dan perjalanan ke Jeti Tangga Krai mengambil masa kira-kira 15 hingga 20 minit. – UTUSAN

The post Bot jadi nadi enam kampung di Kuala Krai appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved