Gajah liar sudah berani lalu belakang rumah

LocalEnvironment
31 Jul 2026 • 8:20 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Gajah liar sudah berani lalu belakang rumah

KEMAMAN – Lebih 5,000 penduduk Cheneh Baharu dan Felda Neram II, di sini hidup dalam ketakutan setelah penempatan mereka ‘diamuk’ sekumpulan gajah liar sejak Jumaat lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Kampung Peringkat 4, Cheneh Baharu, Wan Nordin Wan Omar berkata, kumpulan gajah liar terbabit mula dikesan memasuki perkampungan mereka pada pukul 1.30 pagi, Jumaat lalu.

“Bermula di Taman Gemilang di sini, kumpulan gajah itu kemudiannya dilihat berkeliaran di sekitar Cheneh Baharu dan Felda Neram II sehingga hari ini (semalam). Banyak tanaman penduduk dirosakkan sepanjang tempoh tersebut,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Wan Nordin berkata, sebelum ini, gajah liar hanya memasuki kebun namun kini sudah berani menghampiri kediaman mereka.

Sementara itu, Mohd. Anuar Awang, 54, berkata, kumpulan gajah liar itu merosakkan beberapa pokok pisang dan kelapa yang ditanam berhampiran bengkel perusahaan besi miliknya ekoran penemuan najis haiwan itu yang bersepah di kawasan berkenaan.

Johazly Mat Zin, 53, dari Taman Gemilang, Cheneh Baharu, berkata, dia tersedar daripada tidur apabila terdengar bunyi mencurigakan seakan ranting pokok dipatahkan di belakang rumahnya pada kelmarin.

“Terkejut saya mendapati beberapa ekor gajah sedang rakus memakan pokok pisang yang saya tanam. Saya yang ketakutan tak berani buat apa-apa,” katanya.

Seorang pekebun, Mohd. Fazli Mat Yusof, 36, berkata, dia dan empat rakan lain pula kerugian lebih RM30,000 setelah pokok durian, rambutan, kelapa, cempedak dan nangka yang mereka usahakan bersama-sama dirosakkan gajah liar berkenaan.

“Kami harap pihak berwajib mengambil tindakan drastik mencari jalan penyelesaian jangka panjang mengatasi pencerobohan gajah liar ini,” katanya.

The post Gajah liar sudah berani lalu belakang rumah appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved