Bot Karam: Pulanglah abang, kami tunggu

17 Sep 2026 • 10:27 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Bot Karam: Pulanglah abang, kami tunggu

KLANG – Keluarga Raja Mohd. Rozi, 49, berharap penantian mereka berakhir hari ini dengan kepulangan pemancing itu yang hilang sejak empat hari lalu selepas bot dinaiki dipercayai karam di perairan One Fathom Bank, Ahad lalu.

Adik mangsa, Raja Noorhayati Raja Mohamud, 46, berkata, seluruh ahli keluarga dari Kota Bharu, Kelantan sudah berkumpul di Klang untuk menanti berita mengenai abangnya.

Menurutnya, keluarga tidak meletakkan harapan lain selain mahu Raja Rozi ditemukan dan dibawa pulang, walaupun mereka tidak mengetahui keadaannya.

“Harapan kami besar supaya dia pulang hari ini. Dalam keadaan apa sekalipun, kami mahu dia balik.

“Kalau dia selamat, Alhamdulillah. Kami cuma mahu penantian ini berakhir,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.

Raja Noorhayati berkata, Raja Rozi merupakan anak ketujuh daripada 11 beradik dan difahamkan menjadi Penghulu Taman Tanjong Agas, Jalan Kebun di sini, sejak sekitar 2017 atau 2018.

Katanya, abangnya juga seorang yang berpengalaman dengan sungai dan laut serta difahamkan memakai jaket keselamatan ketika keluar memancing.

“Dia memang paling pakar tentang sungai dan laut. Sebab itu kami susah hendak terima apabila perkara ini berlaku.

“Abang pergi memancing dan kami anggap seperti biasa kerana itu memang aktiviti yang sering dilakukannya,” katanya.

Menurutnya, Rozi turut sempat mengemas kini status memaklumkan dia keluar memancing sebelum kejadian.

“Dia kata akan balik hari yang sama, bukan hendak bermalam di bot,” ujarnya.

Raja Noorhayati berkata, kali terakhir dia bertemu abangnya adalah ketika Hari Raya Aidilfitri lalu, manakala ketika Aidiladha, Rozi hanya pulang seketika.

Katanya, mereka masih berhubung menerusi kumpulan WhatsApp keluarga dan tidak menyangka kemas kini mengenai aktiviti memancing itu menjadi antara komunikasi terakhir mereka.

Dalam pada itu, Raja Noorhayati kesal dengan dakwaan di media sosial yang menyatakan abangnya telah meninggal dunia selepas dikatakan dilanggar sesuatu.

“Kami ralat dan sedih. Memang kami marah, tetapi kami masih berharap dia hidup.

“Jadi, kami harap jangan keluarkan perkara yang belum pasti kerana kami sangat sensitif dengan perkara seperti itu. Kami masih menunggu dan berharap dia ditemui,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Bot Karam: Pulanglah abang, kami tunggu appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved