Empat daripada tujuh pemancing hilang didakwa dijumpai

15 Sep 2026 • 12:11 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Empat pemancing dijumpai

KLANG: Empat daripada tujuh pemancing termsuk seorang tekong didakwa dijumpai dalam keadaan selamat selepas lebih 24 jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan.

Bagaimanapun tiga yang lain masih belum ditemui.

Seorang tekong di Jeti Sementa, Pangkalan Nelayan Sementa, Kapar di sini, Shafariza Mohd. Bakri, 30, berkata, keempat-empat itu ditemukan oleh nelayan pukat tunda di perairan berdekatan Tanjong Karang, Kuala Selangor.

“Namun, sehingga kini belum mendapat sebarang pengesahan daripada pihak berkuasa mengenai identiti mereka. Tetapi, lagi tiga mangsa tidak diketahui kedudukannya.

“Jadi, biarlah kita tunggu pengesahan daripada pihak berkuasa, bagaimanapun saya amat berharap kesemua mangsa termasuk tekong yang juga kawan saya itu ditemui dengan selamat,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Jelasnya, dia turut terlibat membantu dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar kawasan ‘One Fathom Bank North’ dan menghala ke arah Tanjong Karang dan perairan sekitar Kuala Selangor.

“Semalam, saya turut turun ke laut dengan kawan menaiki bot sendiri sebab tekong yang hilang itu adalah kawan saya. Semalam cari, meronda di perairan yang dikatakan lokasi terakhir memang tak jumpa dan tiada sebarang petunjuk.

“Cuma ada seorang nelayan mendakwa ketika berada di perairan berhampiran kawasan Batuan Kencing dia nampak bot tersebut dalam perjalanan pulang kira-kira pukul 5 petang semalam.

“Lagi pun keadaan laut semalam bergelora teruk ditambah pula dengan angin kuat dan jerebu menyukarkan lagi usaha mengesan kesemua mangsa,” ujarnya.

Dalam pada itu, Shafariza yang dikenali penduduk sebagai Tekong Abu memberitahu bot yang digunakan oleh ketujuh-tujuh pemancing sekawan itu tidak sesuai untuk menghadapi keadaan laut bergelora teruk.

“Bot yang dinaiki mereka adalah bersaiz 30 kaki panjang dan lapan kaki lebar. Kebiasaanya digunakan sebagai bot penumpang dan pemancing,” tambahnya.

Sementara itu, Ruzita Ruhaizat, 44, isteri kepada Muhd. Hamiszar, 45, amat berharap suaminya dapat ditemukan dengan selamat.

“Saya tak dapat bercakap apa-apa lagi. Tak tahu siapa empat yang sudah ditemui sedangkan lagi tiga masih hilang. Tak apalah saya masih tunggu, harap suami selamat,” luahnya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan tujuh sekawan dilaporkan hilang selepas keluar memancing dengan menaiki sebuah bot dari Jeti Sementa kira-kira pukul 8 pagi kelmarin.

Mereka yang hilang adalah Mohd. Shahril, Mohd Shairazi Abdul Aziz, 43; Muhd. Hamiszar Puniran, 45; Mohd. Rizal Mohamad Sadali, 45; Muhammad Ridzuan Ruhaizat, 37; Zulfilkalnain Awang, 47 dan Raja Mohd. Rozi Raja Mohamud, 49, yang juga dikenali sebagai Tok Penghulu.

Sementara itu perkembangan di Pos Kawalan Hadapan (PKH) operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu diselaras oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor yang turut disertai oleh Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Seramai 40 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi tersebut yang dibantu dengan aset-aset seperti tiga buah kereta, sebuah jentera dan tiga buah bot serta sebuah pesawat bombardier bagi pemantauan melalui udara.

Difahamkan, operasi yang sebelum ini tertumpu di sekitar perairan One Fathom Bank berhampiran Pulau Ketam, Pelabuhan Klang diperluaskan sehingga ke perairan Kuala Selangor dan Sabak Bernam. – UTUSAN

The post Empat daripada tujuh pemancing hilang didakwa dijumpai appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved