Bot terbalik: Mangsa kedua ditemui

22 Apr 2026 • 2:41 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Bot terbalik: Mangsa kedua ditemui

KOTA BELUD: Seorang lagi mangsa tragedi bot karam di perairan sungai Kampung Tamau Batu Gadung, di sini, yang dilaporkan hilang sebelum ini ditemukan lemas pada hari ketiga pencarian, pada Selasa.

Mohammad Iqram Jumaat, 23, ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira empat kilometer dari lokasi kejadian.

Pada Ahad lalu, mangsa pertama, Mohammad Dzul Nazri Abdul, 18, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kota Belud selepas ditemui orang awam pada jam 9.50 malam kira-kira 700 meter dari lokasi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, ekoran penemuan mangsa kedua itu, pasukan penyelamat menamatkan operasi SAR.

“Mayat mangsa ditemukan jam 2.45 petang oleh pasukan penyelamat Sektor 3  di kawasan pencarian, sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Elge menambah, operasi ditamatkan jam 4.15 petang dengan kekuatan 36 anggota, termasuk 16 orang awam.

Selain anggota bomba, pasulan penyelamat turut terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang Ahad, bot yang membawa lapan pemancing dipercayai dipukul ombak sebelum terbalik dan karam di muara sungai.

Dua orang dihanyutkan arus deras, manakala enam lagi berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai.