hamden26/11/2026 - 17:16 KUALA LUMPUR 26 Nov - Cadangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) untuk mengurangkan pegangan sahamnya dalam Boustead Plantations Bhd (BPlant) menerusi Projek Earth merupakan langkah penting dalam transformasi berterusan dana itu ke arah menjadi dana persaraan yang lebih terpelbagai, berdaya tahan dari segi kewangan dan mampan.
Ketua Pegawai Eksekutif LTAT, Datuk Mohammad Ashraf Md Radzi berkata, langkah itu selaras dengan syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang menggesa LTAT mempelbagaikan portfolio pelaburannya dan mengurangkan kebergantungan kepada Kumpulan Boustead bagi mengurangkan risiko penumpuan serta menjana dividen mampan kepada pencarum.
Transaksi yang dicadangkan itu dijangka mengurangkan pendedahan LTAT kepada aset strategik, selain membolehkan dana persaraan berkenaan menghapuskan kos pembiayaan sehingga RM80 juta setahun yang berkaitan dengan pinjaman bagi tujuan penswastaan BPlant.
"Secara bersama, langkah ini akan mengurangkan penumpuan kami dalam aset strategik dan membawa kami lebih hampir kepada sasaran GEMPUR30," katanya ketika menjawab pertanyaan Bernama.
GEMPUR30 merupakan pelan hala tuju transformasi strategik lima tahun LTAT bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang bertujuan memperkukuh kemampanan kewangan, meningkatkan prestasi pelaburan dan menyediakan dividen secara konsisten kepada pencarum.
Tumpuan utama pelan itu adalah mengimbangi semula portfolio pelaburan dengan mengurangkan peruntukan aset strategik kepada 35 peratus daripada 58.5 peratus, selain meningkatkan peruntukan ekuiti awam dan pendapatan tetap daripada masing-masing 10.2 peratus dan 11.8 peratus kepada sekurang-kurangnya 20 peratus setiap satu menjelang 2030.
Menerusi pegangan saham signifikan yang dikekalkan, LTAT akan terus menerima dividen daripada BPlant dan mengambil bahagian dalam pertumbuhan syarikat itu, manakala perjanjian berkenaan akan melindungi sokongan BPlant kepada komuniti Angkatan Tentera.
Beliau berkata, langkah LTAT itu berpandukan tanggungjawab asasnya untuk melindungi dan mengembangkan simpanan persaraan anggota Angkatan Tentera Malaysia.
"Setiap keputusan pelaburan di LTAT bermula dengan satu persoalan: adakah keputusan itu melindungi dan mengembangkan simpanan persaraan lelaki dan wanita yang berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia?
"Hari ini, lebih separuh daripada simpanan pencarum kami tertumpu pada segelintir aset strategik. Tiada dana pencen yang berhemah boleh membiarkan pencarumnya terdedah kepada tahap penumpuan sedemikian."
Utamakan pulangan pencarum, BPlant catat defisit hasil bersih kepada LTAT
Mohammad Ashraf berkata, keputusan mengurangkan pegangan saham dalam BPlant perlu dilihat daripada perspektif pulangan pelaburan sesebuah dana persaraan dan bukannya semata-mata berdasarkan keuntungan syarikat perladangan itu.
Beliau berkata, meskipun BPlant mencatatkan peningkatan prestasi operasi, dividen yang diterima LTAT masih lebih rendah berbanding kos faedah tahunan bagi pinjaman yang dibuat untuk tujuan penswastaannya.
Kos pembiayaan sehingga RM80 juta setahun itu telah mewujudkan defisit hasil bersih kepada LTAT.
"Walaupun dividen BPlant meningkat susulan prestasi operasi yang lebih baik, tunai yang sebenarnya diterima LTAT masih tidak mencukupi untuk menampung faedah yang kami bayar bagi hutang berkenaan.
"Sebagai pemegang amanah, kami tidak boleh mewajarkan pencarum terus berada dalam struktur pelaburan yang memberikan hasil negatif apabila terdapat peluang untuk melangsaikan hutang dan melaburkan semula modal dalam aset yang menjana pulangan lebih tinggi daripada kosnya," katanya.
Justeru, peningkatan prestasi BPlant memberikan peluang kepada LTAT untuk merealisasikan nilai pelaburan daripada kedudukan yang kukuh, selain mengurangkan pendedahannya kepada kitaran harga komoditi dan keperluan perbelanjaan modal yang besar berkaitan industri perladangan.
Ini termasuk program penanaman semula yang memerlukan pelaburan awal yang besar dan mengambil masa beberapa tahun untuk menjana pulangan.
Beliau menegaskan bahawa langkah yang dicadangkan itu merupakan pengurangan pegangan saham dan bukannya pengunduran sepenuhnya daripada sektor perladangan.
"Kumpulan LTAT akan mengekalkan kepentingan minoriti yang bermakna dalam BPlant, sekali gus membolehkan kami terus berkongsi pertumbuhan dan dividen masa depannya, mengekalkan suara dalam hala tuju strategiknya serta memelihara sumbangannya kepada komuniti Angkatan Tentera dan keselamatan makanan negara," katanya.
Tender kompetitif dan tadbir urus kukuh
Mengenai pemilihan pelabur pilihan, Mohammad Ashraf berkata, proses tender kompetitif membabitkan empat kumpulan perladangan Bumiputera dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang disenarai pendek telah dilaksanakan bagi mendapatkan nilai keseluruhan terbaik untuk pencarum.
"Tiga pihak mengemukakan tawaran mengikat dan kemudiannya dijemput untuk menambah baik cadangan masing-masing menerusi pusingan bidaan kedua," katanya.
Beliau berkata, LTAT turut melantik penilai bebas untuk menilai bank tanah BPlant serta penasihat kewangan bebas bagi menilai nilai saksama saham syarikat itu.
Penilaian berkenaan bukan sahaja mengambil kira harga pembelian, malah turut mempertimbangkan terma pembayaran, kepastian pembiayaan, obligasi kontrak, potensi liabiliti yang dikekalkan serta keupayaan menyelesaikan transaksi dalam tempoh yang ditetapkan.
"Dengan terma komersial yang secara umumnya setanding, tawaran yang dipilih mengatasi tawaran kedua terbaik dengan margin dua angka.
"Bagi sebuah dana pencen, menolak perbezaan nilai itu semata-mata untuk memilih nama yang lebih besar bukanlah tindakan berhemah, malah melanggar tanggungjawab kami terhadap pencarum," katanya.
Pembida pilihan turut mengemukakan bukti pembiayaan daripada institusi kewangan domestik.
Bagaimanapun, pelaksanaan perjanjian muktamad masih tertakluk kepada penyempurnaan yang memuaskan bagi semua keperluan kewangan, pemilikan dan tadbir urus, termasuk pengesahan pemilikan benefisial muktamad serta pematuhan syarat Bumiputera, katanya.
Mohammad Ashraf berkata, proses itu telah melalui beberapa peringkat penelitian membabitkan pihak pengurusan, Panel Pelaburan, Lembaga Pengarah dan pihak berkepentingan kerajaan yang berkaitan.
"Angka membimbing pertimbangan kami, manakala tadbir urus melindungi mandat kami," katanya.
Beliau menambah, semua pembida yang mengambil bahagian telah dimaklumkan mengenai keputusan berkenaan dan proses tender yang telah dimuktamadkan itu tidak akan dibuka semula, selaras dengan prinsip keadilan, ketelusan dan integriti proses.
Hasil transaksi perkukuh kunci kira-kira LTAT
Mohammad Ashraf menjelaskan bahawa sebahagian besar hasil daripada cadangan transaksi itu akan digunakan untuk melangsaikan sepenuhnya pinjaman yang dibuat berkaitan penswastaan BPlant, sekali gus mengurangkan obligasi pembiayaan LTAT dengan ketara dan memperkukuh kunci kira-kiranya.
"Bakinya akan dilaburkan semula selaras dengan rangka kerja Agihan Aset Strategik kami, terutamanya dalam instrumen pendapatan tetap dan ekuiti tersenarai, manakala pasaran persendirian serta aset nyata akan dipertimbangkan secara terpilih," katanya.
Pengagihan semula itu dijangka meningkatkan kecairan portfolio, memperluas aliran pendapatan berulang dan memperkukuh keupayaan LTAT untuk menyediakan dividen secara konsisten kepada anggota Angkatan Tentera dalam jangka panjang.
Beliau berkata, langkah itu turut meneruskan inisiatif pemulihan modal dan kepelbagaian portfolio LTAT yang dilaksanakan sebelum ini menerusi Projek Earth.
Kekalkan pertumbuhan dan sumbangan strategik BPlant
Beliau berkata, transaksi yang dicadangkan itu turut distrukturkan bagi mengekalkan kesinambungan operasi BPlant, melindungi tenaga kerjanya serta mengekalkan sumbangannya kepada komuniti Angkatan Tentera.
Mohammad Ashraf berkata, keupayaan pengurusan sedia ada BPlant akan dikekalkan, manakala LTAT akan terus mempunyai suara dalam lembaga pengarah syarikat itu menerusi pegangan saham yang masih dimilikinya.
Nilai transaksi akan didedahkan menerusi saluran sewajarnya selepas perjanjian muktamad dimeterai.
Beliau berkata, secara keseluruhannya, langkah yang dicadangkan itu mencerminkan komitmen LTAT untuk memastikan keputusan pelaburan berpandukan disiplin kewangan, tadbir urus yang kukuh dan kepentingan jangka panjang pencarumnya.
"Kami bertanggungjawab terhadap data dan juga kepada pencarum kami." - BERNAMA






