Boustead sasar tingkatkan hasil kepada RM30 bilion dalam tempoh lima tahun

LocalBusiness & Finance
5 Aug 2026 • 2:34 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Boustead sasar tingkatkan hasil kepada RM30 bilion dalam tempoh lima tahun Image from: Boustead sasar tingkatkan hasil kepada RM30 bilion dalam tempoh lima tahun hamden05/08/2026 - 14:34 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Boustead Holdings Bhd menyasarkan untuk meningkatkan hasil tahunan kepada RM30 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang, didorong strategi memperkukuh tiga sektor teras iaitu pertahanan, hartanah dan perkhidmatan komersial.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Boustead, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad berkata, kumpulan itu kini menjana hasil sekitar RM12 bilion setahun dan berhasrat meningkatkan skala perniagaan menerusi pengembangan strategik, khususnya dalam sektor industri pertahanan negara.

 

Beliau berkata, Boustead memainkan peranan penting dalam menyokong agenda perindustrian pertahanan Malaysia menerusi pelaksanaan Dasar Industri Pertahanan Negara (NDIP) yang bertujuan membangunkan ekosistem pertahanan domestik yang lebih mampan.

 

"Kami kini merupakan kumpulan yang menjana hasil RM12 bilion dan berharap dapat mencapai RM30 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.

 

"Tanggungjawab kami adalah memberikan pulangan terbaik kepada semua pihak berkepentingan, khususnya anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," katanya pada majlis pelancaran awal sambutan ulang tahun ke-200 Boustead di Georgetown Pulau Pinang.

 

Menurut Ahmad Sabirin, sektor pertahanan bakal menjadi pemacu utama pertumbuhan kumpulan selepas Boustead diberi tanggungjawab menerajui empat projek strategik negara melibatkan sistem satelit, casis bergerak bagi kenderaan berperisai, senjata api serta sistem pengurusan tempur.

 

Selain meningkatkan keupayaan industri tempatan, Boustead menyasarkan sekurang-kurangnya 30% kandungan tempatan dalam produk teknologi pertahanan menjelang 2030, selain membangunkan rangkaian ekosistem yang melibatkan kira-kira 400 vendor pertahanan tempatan.

 

Rakan Strategik

Sementara itu, Pengerusi Boustead, Jeneral (B) Tan Sri Dr. Abdul Aziz Zainal berkata, kumpulan itu akan bekerjasama dengan rakan strategik tempatan dan antarabangsa bagi mempercepat pembangunan keupayaan industri pertahanan Malaysia.

 

"Kami tidak mahu bekerja secara bersendirian. Sebaliknya, kami mahu bekerjasama dengan rakan yang sesuai bagi membangunkan industri pertahanan Malaysia secara bersama," katanya.

 

Beliau berkata, Boustead tidak melihat pemain industri sedia ada sebagai pesaing, sebaliknya mahu mewujudkan ekosistem kolaboratif yang membolehkan syarikat tempatan berkembang bersama rakan teknologi antarabangsa.

 

Menurut Abdul Aziz, industri pertahanan Malaysia masih berada di peringkat awal berbanding negara maju, sekali gus menjadikan pemindahan teknologi sebagai elemen penting dalam memperkukuh keupayaan tempatan.

 

Beliau turut yakin pelaksanaan NDIP yang dilancarkan awal tahun ini akan menyediakan rangka kerja strategik untuk membangunkan industri pertahanan domestik yang lebih tersusun dan berdaya saing.

 

Selain sektor pertahanan, Boustead turut terlibat dalam pembangunan semula bandar menerusi mandat membangunkan secara bersama Projek Kem Batu bersama Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

 

Projek berkenaan membabitkan pemindahan sembilan kem tentera sebelum kawasan itu dibangunkan sebagai hab komersial baharu di Kuala Lumpur, sekali gus berpotensi menjadi antara projek pembangunan semula bandar terbesar di Malaysia.

 

Dalam pada itu, Boustead turut memulakan perjalanan menuju sambutan ulang tahun ke-200 syarikat yang bakal diraikan pada 2028, dengan Pulau Pinang dipilih sebagai lokasi permulaan bagi memperingati sejarah awal penubuhan kumpulan itu di Tanah Melayu.

 

Pelbagai program akan dilaksanakan sepanjang tempoh tiga tahun akan datang bagi mengetengahkan legasi Boustead, selain memperkukuh peranan kumpulan dalam menyokong pembangunan negara dan pertumbuhan ekonomi jangka panjang. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved