Lebuhraya Pan Borneo, orang Sabah tanya bila mahu siap bah?

LocalPolitics
12 Nov 2026 • 9:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Lebuhraya Pan Borneo, orang Sabah tanya bila mahu siap bah? Image from: Lebuhraya Pan Borneo, orang Sabah tanya bila mahu siap bah? johardy12/11/2026 - 09:00 MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

PADA 31 Ogos 1996, saya dihantar membuat liputan lawatan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad ke majlis sambutan Hari Kebangsaan di Kota Kinabalu. Beliau kemudiannya ke Sandakan.

 

Dari Kota Kinabalu, saya bersama rakan di biro KK menaiki kenderaan pacuan empat roda untuk perjalanan kira-kira 330 kilometer atau 6 jam pemanduan ke Sandakan. Silap tak tempah tiket bilun awal-awal.

 

Malam itu, Gunung Kinabalu berlatarbelakangkan bulan mengambang. Pemandangannya indah. Cuma, rentak perjalanan kami agak memualkan. Sekejap laju, sekejap perlahan, kemudian berhenti terus.


 

solar

 


“Apasal?” tanya saya yang lebih bimbang akan mabuk kereta daripada terlepas menikmati pemandangan.

 

“Jalan kita ni sekejap ada, sekejap tiada bah…” jawab Azalezah Malek, jurufoto tersohor Utusan 1930, dengan loghat Sabah walaupun sebenarnya berasal dari Klang.

 

Hari ini, genap 30 tahun kemudian, saya teringat semula `Sabah Adventure' itu apabila membaca perkembangan Pan Borneo Sabah. Projek ini belum wujud ketika perjalanan tersebut. Mungkin ada atas kertas tapi tak lepas di peringkat Persekutuan. 

 

Sekarang, projek lebuh raya sudah ada. Bil berbilion pun sudah ada. Yang masih belum ada ialah lebuh raya yang siap sepenuhnya.

 

Sarawak sudah siap, Sabah masih menghitung hari

Laporan Ketua Audit Negara yang dibentangkan di Parlimen pada Oktober 2026 menunjukkan sebahagian besar pakej Fasa 1 Sabah belum siap.

 

Sebagai perbandingan, rekod perbahasan Parlimen mengenai dapatan audit menyatakan hampir semua pakej Fasa 1 Sarawak sudah disiapkan.

 

Sabah sudah melepasi jadual asal penghujung 2021. Tentulah keadaan kedua-dua negeri berbeza. Tetapi rakyat nampak jiran sudah sampai. Mereka masih menunggu.

 

Kos kontrak asal Fasa 1 Sabah ialah RM17.91 bilion. Unjuran dalam laporan audit kini RM18.96 bilion. Itu unjuran kos kontrak, bukan semuanya sudah dibelanjakan. Namun, arah pergerakannya jelas: tempoh bertambah, bil pun membesar.


 

merrepak

 


Kerajaan Sabah menjelaskan bahawa angka 11.4% merujuk bilangan pakej yang siap sepenuhnya, bukannya kemajuan fizikal keseluruhan.

 

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam betul dalam perkara ini. Ada pakej yang sudah banyak dibina tetapi belum selesai untuk diserahkan.

 

Tetapi membetulkan tafsiran angka tidak menyiapkan baki jalan. Kementerian Kerja Raya (KKR) sendiri pada Oktober merekodkan kemajuan Fasa 1A masih ketinggalan daripada jadual. Selepas kekeliruan statistik diselesaikan, masalah pembinaan tetap menunggu di tempat yang sama.

 

Tukar cara urus, masa terus berjalan

Menurut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, penamatan model Rakan Pelaksana Projek (PDP) pada 2019 memerlukan proses perolehan baharu. Kontraktor bagi 15 pakej Fasa 1A kemudian dilantik pada 2021. KKR mengenal pasti peralihan ini sebagai antara penyumbang kelewatan.

 

Penamatan perjanjian turut membawa tuntutan Borneo Highway PDP Sdn Bhd yang dipertikaikan. Dalam jawapan Parlimen pada 29 Oktober, KKR memaklumkan kerajaan bersetuju membayar pampasan penyelesaian RM155 juta susulan penamatan atas kepentingan negara.

 

Pampasan itu berkaitan penyelesaian tuntutan akibat penamatan. Kelewatan pula dikaitkan dengan penyusunan semula pelaksanaan dan perolehan. Pertukaran model membawa urusan tuntutan serta masa peralihan. Rakyat pula masih menunggu jalan siap.

 

KKR turut menyebut pandemik, pengambilan tanah, pengalihan utiliti dan prestasi kontraktor. Kerajaan Sabah menjelaskan cabaran cerun serta tanah paya dan gambut. Audit bagaimanapun turut menemukan kelemahan perancangan, penyelarasan, pemantauan dan pengurusan kontrak.

 

Tanah boleh lembut. Cerun boleh curam. Tetapi kelemahan mengurus kontrak tidak boleh disandarkan pada bentuk muka bumi. Di situlah penjelasan teknikal berhenti dan soal tanggungjawab bermula.

 

Rakyat mahu jalan, bukan kuliah kemajuan

Dr Richard A. Gontusan dalam artikelnya di The Borneo Post pada 9 November menekankan kelemahan pengurusan yang perlu dibetulkan. Perbandingannya dengan Sarawak mengingatkan kita bahawa perbincangan tidak boleh berakhir dengan senarai alasan, walaupun keadaan kedua-dua negeri tidak serupa.

 

Hasil kebun tidak boleh dihantar menggunakan laporan kemajuan. Ikan tidak menjadi lebih segar kerana mesyuarat penyelarasan kerap diadakan. Pelancong pula hendak sampai ke destinasi, bukannya mendalami sebab kontraktor belum menyiapkan kerja.

 

Sarawak sudah jauh di depan. Sabah masih dihidangkan menu tanah, utiliti, kontraktor dan pertukaran model pelaksanaan. Menunya panjang, bilnya makin besar. Rakyat yang menunggu jalan pula disuruh menghadam.

 

KKR sudah mengarahkan pelan pemulihan dan memberi amaran tindakan kontrak. Selepas bertahun-tahun, amaran itu sendiri pun sudah patut sampai ke destinasi. Atau amaran juga tersangkut dalam proses penyelarasan?

 

Pan Borneo sepatutnya membuka jalan pembangunan untuk rakyat Sabah. Petani, nelayan, peniaga dan penduduk pedalaman menunggu manfaatnya, bukan sekadar tarikh baharu.

 

Setakat ini, rakyat lebih kerap diberi laluan untuk memahami masalah pihak yang membinanya. Kalau penjelasan boleh diturap, agaknya Sabah sudah ada lebuh raya empat lorong. – DagangNews.com

 

Johardy Ibrahim merupakan Editor DagangNews.com dengan pengalaman kewartawanan lebih 34 tahun, termasuk di Utusan Malaysia, Bernama, TVS dan The People's Mirror. Kolum pojoknya, MERREPAK bermula di Mingguan Malaysia pada 2009 dan menyentuh apa sahaja yang mencuit jiwa serta mindanya sepanjang minggu. Kali ini, beliau mendengar lagu Highway Star oleh Deep Purple berulang-ulang kali.

 

Merrepak Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved