Brembo Mulakan Pengeluaran Sistem Brek Tanpa Bendalir

TechnologyCars
7 May 2026 • 10:08 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Dua hari lalu kami laporkan Brembo kini akan mula menjual sistem brek untuk basikal MTB dan eMTB. Kepakaran dalam menghasilkan sistem brek F1 dan MotoGP digunakan pula pada basikal lumba. Kini mereka mengumumkan pengeluaran sistem brek kereta tanpa bendalir sudah dimulakan dengan ia sedia digunakan pelanggan yang berminat.

Image from: Brembo Mulakan Pengeluaran Sistem Brek Tanpa Bendalir

Sistem brek Brembo Sensify tidak memerlukan bendalir brek, paip hidraulik dan sambungan fizikal antara pedal dalam kabin dengan brek kenderaan. Sebaliknya sistem elektrik sepenuhnya digunakan untuk menghantar isyarat tekanan pedal terus kepada motor elektrik pada angkup brek. Menurut Brembo kerana Sensify ialah sistem elektronik, proses membrek yang lebih pantas serta responsif dapat dinikmati pemandu.

Mereka juga menambak sistem brek-dengan-wayar ini sedia dipasang pada kenderaan sedia ada dan serasi dengan sistem ADAS yang sudahpun dibangunkan sekarang. Pengeluaran telah dimulakan kerana ia bakal digunakan pada kenderaan yang dikeluarkan sebuah pengeluar automotif terkemuka yang belum lagi diumumkan oleh Brembo.

Tanpa bendalir, Sensify tidak memerlukan penyelenggaraan berkala yang kerap sekaligus mengurangkan kos kepada pemilik kenderaan. Sistem brek hidraulik kini semakin berkurangan kerana populariti EV menggunakan sistem brek generatif. Malahan sistem brek fizikal pada EV sangat jarang digunakan sehingga pad brek digantikan bukan kerana haus tetapi kerana berkarat.