Brunei jadi laluan transit seludup syabu RM8 juta

8 Nov 2026 • 4:02 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Brunei jadi laluan transit seludup syabu RM8 juta

 

KUALA LUMPUR – Cubaan menjadikan Brunei sebagai laluan transit penyeludupan dadah terbongkar selepas pihak berkuasa negara itu merampas 102.19 kilogram (kg) syabu yang disembunyikan dalam 100 bungkusan teh di Pos Kawalan Sungai Tujoh, sempadan Brunei-Miri, Sarawak, pada 31 Oktober lalu.

Menurut kenyataan bersama Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) serta Biro Kawalan Narkotik (BKN) Brunei, seorang lelaki warga asing berusia 46 tahun ditahan dalam kejadian itu.

Katanya, suspek ditahan ketika cuba membawa masuk beberapa kotak mengandungi bungkusan teh yang disyaki berisi dadah menggunakan kenderaan.

Pemeriksaan lanjut ujarnya, menemukan lima kotak mengandungi 100 bungkusan teh berisi syabu dengan berat kasar keseluruhan 102.19kg.

“Ia adalah rampasan dadah terbesar pernah direkodkan di pos kawalan negara berkenaan.

“Dadah berkenaan dianggarkan bernilai sekurang-kurangnya BND2.8 juta (kira-kira RM8.88 juta) mengikut nilai pasaran tempatan Brunei,” menurut kenyataan bersama itu yang dilaporkan Pelita Brunei.

Siasatan awal BKN mendapati Brunei dipercayai hanya digunakan sebagai laluan transit sebelum dadah berkenaan dibawa ke destinasi lain.

“Dadah yang dirampas dipercayai bukan untuk pasaran tempatan, manakala suspek disyaki mempunyai kaitan dengan rangkaian pengedaran dadah di negara jiran.

“Modus operandi penyeludupan itu juga menyerupai kes terdahulu yang pernah dikesan di dalam dan luar Brunei,” katanya.

Selain syabu, pihak berkuasa turut merampas empat pil Erimin 5, wang tunai RM1,180, SGD10, BND10 dan 500 baht, dua telefon bimbit serta sebuah kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.

Operasi itu turut mendapat kerjasama dan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membanteras kegiatan penyeludupan dadah rentas sempadan.

JKED dan BKN turut menegaskan bahawa Brunei tidak boleh dijadikan laluan transit bagi kegiatan penyeludupan dadah.

Kedua-dua agensi memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap sebarang kegiatan penyeludupan, sama ada Brunei dijadikan destinasi akhir atau negara transit.

 

 

The post Brunei jadi laluan transit seludup syabu RM8 juta appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved