Jadi laluan transit! Malaysia sasaran sindiket bahan terlarang

LocalPolitics
6 Nov 2026 • 11:06 AM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Kedudukan geografi Malaysia yang strategik serta rangkaian pengangkutan udara, darat dan maritim yang luas menjadikan negara ini berpotensi dieksploitasi sindiket jenayah terancang sebagai laluan transit penyeludupan dadah antarabangsa.

Menurut laporan Harian Metro, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sindiket berkenaan dipercayai menggunakan Malaysia sebagai lokasi membawa masuk dadah sebelum bahan terlarang itu diedarkan dalam pasaran tempatan atau dihantar ke negara lain.

Image from: Jadi laluan transit! Malaysia sasaran sindiket bahan terlarang

Foto arkib: IG Saifuddin Nasution Ismail

Saifuddin berkata, ancaman itu dikenal pasti menerusi hasil risikan dan tindakan penguatkuasaan yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“PDRM melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) terus mempergiatkan risikan dan operasi penguatkuasaan terhadap keseluruhan rangkaian sindiket.
“Ia termasuk pembekal, pengatur pergerakan, pembiaya dan pengedar, selain memperkukuh kerjasama dengan agensi penguat kuasa antarabangsa serta kawalan di lapangan terbang, pelabuhan dan sempadan darat bagi membendung aktiviti penyeludupan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di portal Dewan Rakyat, hari ini, bagi menjawab pertanyaan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai sama ada Malaysia kini menjadi laluan transit sindiket pengeluaran dan pengedaran dadah antarabangsa.

Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin berkata, Jemaah Menteri pada 19 Ogos lalu meluluskan Memorandum Jemaah Menteri (MJM) Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) susulan beberapa insiden keselamatan di pintu masuk negara.

Image from: Jadi laluan transit! Malaysia sasaran sindiket bahan terlarang

Foto arkib: IG Saifuddin Nasution Ismail

Ujarnya, kelulusan itu membabitkan cadangan pelaksanaan pelan tindakan penambahbaikan dan mitigasi keselamatan bagi memperkukuh kawalan serta saringan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan pintu-pintu masuk antarabangsa secara berfasa.

“Pelan tindakan ini merangkumi 17 syor substantif yang dirangka berteraskan tiga teras keselamatan utama iaitu Keselamatan Penerbangan, Keselamatan Negara dan Sempadan, serta Keselamatan Fizikal dan Perlindungan.
“Pelaksanaannya dibahagikan secara berfasa merangkumi jangka pendek (0 hingga 6 bulan), jangka sederhana (6 hingga 24 bulan) dan jangka panjang (melebihi 24 bulan),” ujarnya.

Sumber: Harian Metro (Farah Marshita Abdul Patah)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved