
KUALA LUMPUR – Malaysia dikenal pasti berdepan dengan ancaman dieksploitasi sebagai antara laluan transit bagi aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah antarabangsa, berdasarkan hasil risikan dan tindakan penguatkuasaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan kedudukan geografi yang strategik serta jaringan pengangkutan udara, darat dan maritim yang luas berpotensi dimanfaatkan oleh sindiket jenayah terancang untuk membawa masuk dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan atau dihantar ke negara destinasi lain.
Sehubungan dengan itu, kementerian tersebut memaklumkan bahawa PDRM melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) terus mempergiatkan risikan dan operasi penguatkuasaan terhadap keseluruhan rangkaian sindiket, termasuk pembekal, pengatur pergerakan, pembiaya dan pengedar.
“Selain itu, (PDRM) akan memperkukuh kerjasama dengan agensi penguat kuasa antarabangsa serta kawalan di lapangan terbang, pelabuhan dan sempadan darat bagi membendung aktiviti penyeludupan,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman rasmi Parlimen.
KDN menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang antaranya ingin tahu sama ada Malaysia kini menjadi transit sindiket pengeluaran dan pengedaran dadah
Berhubung perkembangan siasatan kes seorang pembantu juruterbang warga Malaysia didakwa menyeludup dadah di Indonesia pada Julai lepas, KDN memaklumkan lelaki itu kini menjalani proses siasatan oleh pihak berkuasa Indonesia untuk dibuat pertuduhan di bawah undang-undang negara itu berkaitan penyeludupan dan pengedaran dadah.
Menjawab dakwaan kemungkinan penglibatan pihak dalaman di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kementerian itu memaklumkan bahawa siasatan setakat ini menunjukkan kegiatan penyeludupan dadah itu didalangi oleh rangkaian sindiket dari luar tanpa petunjuk penglibatan petugas lapangan terbang.
Siasatan itu dijalankan terhadap aspek keselamatan penerbangan, termasuk Bahagian Keselamatan Penerbangan (AVSEC), serta membuat semakan pada rakaman kamera litar tertutup dan imej pengimbas bagasi sebagai sebahagian daripada proses pengumpulan dan pengesahan bukti.
“Berdasarkan hasil siasatan tersebut, tiada petunjuk yang menunjukkan penglibatan mana-mana kakitangan atau pihak dalaman KLIA dalam kegiatan penyeludupan dadah tersebut. Semakan yang dijalankan juga mendapati prosedur dan langkah keselamatan di KLIA telah dilaksanakan mengikut piawaian yang ditetapkan.
“Bagaimanapun, PDRM akan terus memantau perkembangan siasatan sekiranya terdapat bukti baharu yang menunjukkan mana-mana individu bersubahat, membantu atau terlibat dalam kegiatan penyeludupan dadah,” menurut kementerian itu.
KDN menjawab pertanyaan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai status siasatan kes seorang juruterbang warga Malaysia yang didakwa menyeludup 26 kilogram dadah dari KLIA ke Jakarta, Indonesia pada 29 Julai lepas serta sama ada terdapat penglibatan pihak dalaman di lapangan terbang itu. – BERNAMA
The post Malaysia jadi sasaran transit dadah appeared first on Kosmo Online.





