
PETALING JAYA: Kelulusan secara prinsip pembangunan Lebuhraya Bertingkat Bandar Malaysia–Seri Kembangan (BSE) dilihat sebagai langkah strategik kerajaan dalam memperkukuh kesalinghubungan serta meletakkan asas kepada pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pembangunan BSE bukan sekadar pembinaan sebuah lebuh raya baharu, sebaliknya merupakan pelaburan jangka panjang dalam memperkukuh kesalinghubungan, keterangkuman pembangunan dan daya saing ekonomi negara.
“Selaras aspirasi Malaysia Madani, pembangunan BSE bukan sekadar pembinaan sebuah lebuh raya baharu, tetapi merupakan pelaburan jangka panjang dalam memperkukuh kesalinghubungan, keterangkuman pembangunan dan daya saing ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Alexander berkata, Jemaah Menteri dalam mesyuarat baru-baru ini bersetuju memberikan kelulusan secara prinsip bagi cadangan pembangunan BSE, yang berpotensi memperkukuh rangkaian pengangkutan serta meningkatkan kesalinghubungan di kawasan Greater Kuala Lumpur.
Jelasnya, BSE dicadangkan sebagai laluan penghubung berkapasiti tinggi yang mengintegrasikan beberapa rangkaian lebuh raya utama, termasuk Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, Lebuhraya Maju (MEX), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) serta rangkaian Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur (SPRINT) yang lebih luas.
Beliau berkata, pembangunan lebuh raya bertingkat di sepanjang jajaran strategik itu berpotensi menyediakan laluan alternatif kepada pengguna selain melancarkan pergerakan antara koridor utara, selatan dan pantai timur Semenanjung Malaysia.
“Kesalinghubungan yang lebih baik turut dijangka meningkatkan mobiliti rakyat, memperkukuh kecekapan logistik dan melancarkan pergerakan barangan.
“BSE berpotensi mengurangkan masa perjalanan serta meningkatkan akses kepada pusat pekerjaan, institusi pendidikan dan perkhidmatan awam,” katanya.
Dari sudut pembiayaan, katanya, cadangan pembangunan BSE berpandukan pendekatan pembiayaan sektor swasta, sekali gus memastikan pelaksanaannya tidak melibatkan komitmen kewangan langsung daripada Kerajaan Persekutuan.
Susulan kelulusan secara prinsip itu, Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama agensi berkaitan, termasuk Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) akan meneruskan rundingan dan penilaian terperinci bagi memuktamadkan struktur pelaksanaan projek.
Alexander berkata kerajaan akan memastikan setiap aspek projek dinilai secara menyeluruh, khususnya dari segi kepentingan awam, nilai terbaik kepada negara dan kemampanan fiskal, sebelum sebarang keputusan muktamad mengenai pelaksanaannya dibuat.
“Kerajaan akan memastikan setiap aspek projek dinilai secara menyeluruh, khususnya dari segi kepentingan awam, nilai terbaik kepada negara dan kemampanan fiskal,” katanya.
Pada masa sama, kerajaan turut meneliti beberapa cadangan penyelesaian infrastruktur lain secara terpilih bagi melengkapkan rangkaian jalan raya dan menangani isu kesesakan lalu lintas di Lembah Klang.
“Cadangan berkenaan akan dipertimbangkan berdasarkan keperluan strategik, peningkatan kapasiti serta impak terhadap kelancaran trafik.
“KKR akan memastikan proses seterusnya dilaksanakan secara teliti, telus dan berteraskan kepentingan rakyat serta negara, selaras komitmen kerajaan membangunkan sistem pengangkutan yang lebih cekap, bersepadu dan mampan demi menyokong pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya.-UTUSAN
The post BSE pelaburan jangka panjang, perkukuh kesalinghubungan appeared first on Utusan Malaysia.






