KPS Berhad Caregiver Initiative Perkukuh Ekosistem Penjagaan Warga Emas, Latih 60 Lagi Tenaga Penjaga

LocalHealth & Fitness
24 Aug 2026 • 8:13 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

KPS Berhad Caregiver Initiative Perkukuh Ekosistem Penjagaan Warga Emas, Latih 60 Lagi Tenaga Penjaga

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (“KPS Berhad”) terus memperkukuh komitmennya terhadap pembangunan modal insan dan kesejahteraan komuniti menerusi KPS Berhad Caregiver Initiative, sebuah inisiatif pelaburan sosial yang memberi fokus kepada pembangunan tenaga penjaga warga emas yang kompeten dan berkemahiran bagi memenuhi keperluan sektor penjagaan warga emas yang semakin berkembang.

Pada Majlis Graduasi KPS Berhad Caregiver Initiative 2026 yang berlangsung di Petak Padin Cottage, Kepala Batas, Pulau Pinang, seramai 60 graduan diraikan selepas berjaya menamatkan latihan bagi sesi 2026.

KPS Berhad telah menjalankan sesi temuduga sebelum mengenalpasti 60 peserta untuk menjalani sesi latihan selama enam minggu, merangkumi dua minggu pembelajaran teori dan empat minggu latihan praktikal di pusat-pusat jagaan terpilih, antaranya Big Tree Medicare & Nursing Home, Pusat Jagaan Jawi, dan Pusat Jagaan Warga Emas Darul Hanan.

KPS Berhad Caregiver Initiative dikendalikan oleh Cality Care Malaysia selaku penyedia Latihan dan inisiatif ini menggunakan modul berteraskan Australia’s Certificate III in Individual Support (Ageing) bagi melengkapkan peserta dengan pengetahuan dan kemahiran praktikal yang relevan dengan keperluan sektor penjagaan warga emas. Selain kemahiran teknikal, latihan turut menekankan nilai empati, kesabaran, komunikasi dan integriti yang menjadi asas penting dalam sektor penjagaan warga emas.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2019, lebih 350 peserta telah menamatkan latihan dan menerima pensijilan dalam penjagaan warga emas menerusi KPS Berhad Caregiver Initiative. Inisiatif ini dijalankan bukan sahaja sejajar dengan keprihatinan negara berkaitan dengan isu status ‘aged society’ di Malaysia, ianya juga memberi tumpuan kepada penyediaan peluang pembangunan kemahiran dan laluan kerjaya kepada peserta, khususnya golongan berpendapatan rendah dan asnaf.

Kesemua graduan yang mengikuti initiatif ini sejak daripada tahun 2019 telah berjaya memperoleh pekerjaan dalam bidang penjagaan warga emas ini termasuklah bekerja dengan penyedia perkhidmatan kesihatan, pusat jagaan dan majikan di seluruh negara selepas menamatkan latihan. Berdasarkan penilaian impak program, 80% peserta mampu menjana pendapatan sehingga RM2,000 sebulan sebagai penjaga bebas. Ini membuktikan bahawa, KPS Berhad Caregiver Initiative dapat menjadi platform kepada para peserta untuk memperoleh kemahiran dalam sektor penjagaan warga emas. Pencapaian ini menunjukkan pembangunan kemahiran bukan sekadar latihan dan pensijilan malah memberi peluang pekerjaan serta dapat meningkatkan tahap sosioekonomi para peserta.

Zul Mawardi, Ketua Pegawai Kelestarian, KPS Berhad berkata, peningkatan populasi warga emas memerlukan Malaysia membangunkan ekosistem penjagaan yang lebih tersusun, profesional dan berdaya tahan.

“Keperluan penjagaan warga emas tidak boleh dilihat sebagai isu keluarga semata-mata. Ia merupakan satu keperluan sosial yang semakin penting. Melalui KPS Berhad Caregiver Initiative, kami mahu membangunkan tenaga kerja tempatan yang mempunyai kemahiran, keyakinan dan laluan kerjaya yang jelas, sambil membantu keluarga kepada warga emas untuk mendapatkan akses kepada penjagaan yang lebih berkualiti.”

Selepas tujuh tahun pelaksanaannya, KPS Berhad Caregiver Initiative telah membina asas dalam meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan penjagaan warga emas, membangunkan tenaga penjaga tempatan serta membuka laluan kerjaya kepada peserta. Berlandaskan perkembangan ini, KPS Berhad melihat ruang untuk memperhalusi fokus inisiatif seiring dengan perubahan keperluan sektor penjagaan warga emas, khususnya bagi mereka yang memerlukan penjagaan warga emas yang lebih khusus dan berkeperluan khas.

KPS Berhad merakamkan penghargaan kepada Cality Care Malaysia selaku rakan pelaksana dan penyedia latihan serta pusat-pusat jagaan yang menyediakan ruang latihan praktikal kepada peserta. Penghargaan turut diberikan kepada Pusat Jagaan Warga Emas Darul Hanan dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang atas kerjasama meningkatkan kemahiran kakitangan menerusi latihan peningkatan kemahiran, sekali gus menyumbang kepada peningkatan mutu perkhidmatan penjagaan warga emas.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved