KUALA LUMPUR - Peluang memiliki rumah pertama kini lebih terbuka kepada pekerja gig dan kakitangan kontrak kerajaan melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan usahasama Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) untuk memperluas pemilikan rumah secara lebih inklusif.
Bagi menyokong usaha tersebut, BSN menawarkan pembiayaan perumahan melalui MyFirstHome-i dan BSN MyHome-i SJKP MADANI yang lebih fleksibel, dilengkapi proses dokumentasi dipermudah serta kaedah pengesahan pendapatan alternatif bagi pemohon tanpa slip gaji tetap.
Ketua Eksekutif BSN, Datuk Jay Khairil berkata, inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan BSN dalam memperkukuh peluang pemilikan rumah kepada rakyat Malaysia khususnya mereka yang mempunyai sumber pendapatan tetapi berdepan kekangan dari segi dokumentasi.
“Ramai pekerja gig sebenarnya mempunyai pendapatan yang stabil, namun sering berdepan kesukaran mendapatkan pembiayaan kerana keperluan dokumentasi tertentu.
“Melalui SJKP, BSN membuka ruang kepada lebih ramai dalam kalangan mereka untuk mendapatkan pembiayaan dan merealisasikan impian memiliki rumah pertama,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, sebagai langkah permulaan, bagi segmen pekerja gig, BSN menjalinkan kerjasama dengan foodpanda Malaysia bagi memudahkan pemohon mengemukakan dokumen sokongan alternatif seperti surat pengesahan pekerjaan dan rekod pembayaran.
“Sementara itu, bagi kakitangan kontrak kerajaan pula, BSN telah diperuntukkan dana sebanyak RM500 juta melalui Belanjawan 2026 bagi menyokong pembiayaan rumah pertama mereka di samping memperluas peluang pemilikan rumah mampu milik bersama PR1MA,” katanya.
Seiring inisiatif, BSN turut melancarkan kempen ‘Rumah untuk Semua’ bermula 1 Februari hingga 30 Jun 2026, menawarkan 30 hadiah dengan jumlah keseluruhan bernilai RM50,000 kepada pelanggan yang mengambil pembiayaan minimum RM100,000.
Terdahulu, inisiatif ini disaksikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam satu majlis menandakan komitmen BSN memperluas peluang pembiayaan perumahan kepada pekerja gig dan kakitangan kontrak kerajaan melalui SJKP, sekali gus membuka ruang kepada lebih ramai rakyat merealisasikan impian memiliki rumah pertama mereka.
Pada majlis sama, beliau turut melawat penjaja di Bazar Ramadan Putrajaya yang menyertai program BSN Cashless 1,000 Penjaja.
Daripada 290 penjaja yang berniaga di bazar tersebut, seramai 107 penjaja telah dilengkapi dengan kemudahan pembayaran tanpa tunai melalui kod QR dan soundbox BSN.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha BSN untuk menggalakkan penggunaan pembayaran tanpa tunai, khususnya dalam kalangan peniaga mikro.



