
KUALA TERENGGANU – Raja Muhammad Raja Ali, 45, bersyukur organ yang didermakan arwah isterinya, Romaizam Marzuan, 44, memberi sinar harapan baharu kepada tiga individu yang sebelum ini menderita penyakit buah pinggang dan hati.
Katanya, Kementerian Kesihatan memaklumkan dua buah pinggang isterinya masing-masing telah didermakan kepada lelaki berusia 27 dan 37 tahun.
“Hati arwah (Romaizam) pula diterima oleh seorang lelaki berusia 54 tahun. Sebagai suami, saya bersyukur hasrat terakhir arwah yang mendaftar sebagai penderma organ tertunai sudah.
“Semoga penerima organ arwah dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik dan diberikan kesihatan berpanjangan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.
Menurutnya, biarpun pemergian arwah Romaizam amat berat buat dia dan empat anak-anaknya, dia tetap berbangga isteri masih memberi manfaat kepada insan lain biarpun sudah meninggal dunia.
Pembantu tadbir di Universiti Sultan Zainal Abidin itu berharap penerima organ isterinya dapat menjaga kesihatan serta menghargai peluang kedua diberikan.
“Biarpun tidak mengenali penerima-penerima organ isteri, saya sentiasa doakan kesihatan mereka hingga ke akhir hayat.
“Anggaplah organ yang diterima itu sebagai satu amanah. Gunakan peluang ini untuk meneruskan kehidupan bersama keluarga,” katanya.
Menurutnya, selain buah pinggang dan hati, kedua-dua kornea mata, injap jantung, kulit serta tulang arwah Romaizam akan didermakan kepada insan memerlukan.
Kosmo! kelmarin melaporkan Raja Muhammad menunaikan hasrat terakhir isterinya, Romaizam yang meninggal dunia pada pukul 7.56 malam, Rabu lalu untuk menderma organ.
Ibu kepada empat anak berusia antara 9 dan 19 tahun mendaftar sebagai penderma organ bersama adik-beradiknya, beberapa tahun lalu.
The post Buah pinggang, hati Romaizam kini milik 3 lelaki appeared first on Kosmo Digital.






