

KAJANG – “Arwah dalam perjalanan menghantar isterinya berniaga nasi kukus berhampiran stesen minyak Petronas di Nanding dan menghantar anak bongsunya ke tadika sebelum kemalangan”.
Demikian kata bapa kepada mangsa kemalangan maut yang dirempuh pemandu Perodua Aruz dipercayai memandu di bawah pengaruh dadah di Jalan Batu 17 Hulu Langat di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.56 pagi itu, Hafifi Rahman Rahmat, 34, isterinya, Nik Aishah Asilan Nik Mohd. Zamzuri, 32, serta anak bongsu mereka, Muhammad Rafie Hanzal, 3, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Bapa mangsa, Rahmat Topani, 65, berkata, dia menerima makluman mengenai kejadian itu selepas menerima panggilan daripada rakan sebelum bergegas ke lokasi bersama isteri.
“Sebelum kejadian, (arwah) sempat menghantar dua anak lelakinya berusia 10 dan lapan tahun ke sekolah sebelum menghantar isterinya berniaga dan anak bongsu ke tadika.
“Namun, mereka tidak sempat sampai apabila terlibat dalam kemalangan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Katanya, ketiga-tiga jenazah telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jawa, Hulu Langat kira-kira pukul 10 malam tadi.
Terdahulu, media melaporkan motosikal dinaiki tiga beranak itu dipercayai dirempuh sebuah Perodua Aruz yang memasuki laluan bertentangan.
Siasatan polis mendapati pemandu kereta berusia 42 tahun itu mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah dan ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine.
Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE
The post Tiga beranak maut: Arwah dalam perjalanan hantar isteri berniaga nasi kukus appeared first on Kosmo Digital.






