Buang rasa gentar bertemu Vietnam

FootballSports
10 Aug 2026 • 7:20 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Buang rasa gentar bertemu Vietnam
Pemain Harimau Malaya meraikan kemenangan 1-0 dengan penyokong di Cheras. Foto: Malaysia NT

SELEPAS berjaya melepasi saingan Kumpulan B, Harimau Malaya kini perlu mengalihkan fokus kepada Vietnam pada separuh akhir Piala ASEAN 2026 dengan beberapa kelemahan perlu segera diperbaiki.

Malaysia akan menerima kunjungan Vietnam di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 16 Ogos ini sebelum aksi timbal balik di Stadium My Dinh, Hanoi tiga hari kemudian.

Jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui pertemuan dengan Vietnam sentiasa menghadirkan cabaran besar kepada skuad negara, namun pemain perlu hadir dengan keyakinan lebih tinggi.

“Ya, kita tahu perlawanan menentang Vietnam begitu sukar dan untuk kita menang perlawanan dengan mereka menjadi satu macam tradisi.

“Apa pun, pemain perlu lebih yakin dan percaya kepada kemampuan diri, selain itu sokongan penyokong sudah tentu memberikan semangat tambahan kepada pasukan,” katanya.

Justeru menurut Cheng Hoe, aspek serangan perlu diberikan perhatian dengan corak hantaran satu-dua antara pemain tengah dan penyerang dipertingkatkan bagi membantu Malaysia mencipta lebih banyak ruang di kawasan lawan.

Tambahnya, kemampuan pemain memenangi situasi satu lawan satu juga perlu diperkemas supaya gerakan menyerang tidak mudah terhenti apabila berdepan benteng Vietnam.

"Kelebihan beraksi di Cheras terlebih dahulu juga perlu dimanfaatkan sebaik mungkin bagi mendapatkan bekalan positif sebelum bertandang ke Hanoi," ujarnya.

Malaysia mara ke separuh akhir selepas mengalahkan Filipina 1-0 hasil jaringan pemain muda, G Pavithran selepas menyempurnakan hantaran lintang pemain tengah berpangkalan di Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal pada minit ke-16.

Kemenangan tipis itu menyaksikan skuad Harimau Malaya menamatkan saingan Kumpulan B di kedudukan kedua dengan mengumpul sembilan mata, di belakang Thailand yang muncul juara kumpulan dengan 12 mata.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved