
KUALA LUMPUR: Pembangkang mempertikaikan status Sidang Khas Dewan Rakyat Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) yang didakwa hanya bertaraf penerangan menteri tanpa sebarang keputusan Parlimen.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan memaklumkan bahawa laporan RCI TH itu hanya dibentangkan dalam bentuk penerangan menteri.
Menurutnya, status itu berbeza dengan jangkaan bahawa laporan RCI berkenaan akan dibahaskan oleh ahli Parlimen sebelum satu ketetapan dibuat.
“Ini bukan satu laporan RCI yang sebelum ini dibentangkan di Parlimen. Bukan sahaja tidak ada pengundian malah ia diturunkan taraf kepada penerangan menteri sahaja yang pada bila-bila masa boleh dibuat,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen semalam.
Pembangkang semalam memilih tidak menyertai sidang khas itu selepas permintaan untuk ia ditangguhkan tidak dilayan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, sesi penerangan menteri boleh dilakukan semasa persidangan biasa dan tidak memerlukan satu persidangan khas sekiranya tiada usul atau keputusan hendak dibuat.
Katanya, pembangkang mengambil keputusan keluar Dewan kerana menganggap persidangan khas itu kehilangan maksud sebenar sekiranya Perdana Menteri sendiri tidak hadir.
“Kalau RCI sepenting ini yang diambil berat oleh Perdana Menteri, beliau yang mengarahkan sidang khas tetapi beliau tidak ada dalam Dewan ia seolah-olah sama seperti kita buat sidang akhbar sahaja.
“Sini (sidang akhbar) pun Perdana Menteri tidak ada, dalam pun Perdana Menteri tidak ada, tiada beza,” katanya.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin pula berkata, pembangkang tidak akan mengambil bahagian dalam sesi berkenaan kerana ia hanya bersifat penerangan.
“Ya, kami tidak akan masuk lagi selepas ini. Ia majlis penerangan. Kalau dia terang, dia mahu suruh kita bahas apa? Kalau ada perkara atau usul yang mahu dibawa baru kami bahas,” katanya.
Hamzah berkata, pembangkang hadir ke Dewan Rakyat kerana mahu mendapatkan penjelasan terhadap beberapa perkara yang menjadi persoalan rakyat berhubung laporan RCI Tabung Haji.
Namun, katanya, ketiadaan usul atau keputusan menjadikan sesi berkenaan tidak membawa maksud perbahasan sebenar.
“Bila kita kata mahu bahas dalam Dewan dan akhirnya hanyalah penerangan menteri serta tidak ada keputusan yang diambil, kita boleh buat sidang akhbar, keluarkan kenyataan atau hantar surat.
“Itu semua boleh kita lakukan. Jadi, tidak perlu buang masa,” katanya.-UTUSAN.
The post ‘Buat apa hendak hadir kalau hanya penerangan oleh menteri’ appeared first on Utusan Malaysia.






