Gesaan tubuh RCI baharu TH perlu dibawa ke Jemaah Menteri, perkenan Agong

LocalPolitics
12 Aug 2026 • 5:59 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Gesaan tubuh RCI baharu TH perlu dibawa ke Jemaah Menteri, perkenan Agong

PUTRAJAYA: Gesaan beberapa ahli Parlimen supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) baharu ditubuhkan bagi menyiasat pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) perlu diputuskan di peringkat Jemaah Menteri sebelum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, terdapat dua keputusan yang perlu dibuat berhubung perkara itu, sama ada untuk meneruskan atau mengembangkan lagi siasatan berkaitan RCI Tabung Haji.

“Kita tahu apabila RCI diwujudkan pada tahun 2021, bukan hanya Jemaah Menteri, keputusannya juga perlu mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan oleh Rakan Strategik Program Sambutan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan, ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan menubuhkan RCI baharu bagi menyiasat pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji.

Ketika perbahasan di Dewan Rakyat mengenai laporan RCI TH, Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mencadangkan supaya siasatan baharu itu meliputi tempoh 2021 hingga 2025, memandangkan siasatan sedia ada hanya merangkumi tempoh 2014 hingga 2020.

RSN Rayer (PH-Jelutong) turut membangkitkan perkara sama dengan berkata, RCI baharu perlu ditubuhkan bagi menyiasat pengurusan TH dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap masalah kewangan serta pengurusan institusi berkenaan.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, ketika ini, kerajaan akan menyerahkan semua dapatan dan maklumat berkaitan laporan RCI Tabung Haji kepada pihak berkuasa seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pada waktu ini, sebagai permulaan kita akan serahkan kepada pihak berkuasa seperti yang Perdana Menteri telah umumkan, sama ada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau AMLA untuk melakukan siasatan penuh berdasarkan semua dapatan dan juga maklumat yang telah dimaktubkan dalam laporan.

“Serta maklumat tambahan yang telah dijawab oleh Menteri Kewangan II (Datuk Seri Amir Hamzah Azizan) dan juga Menteri Agama (Dr. Zulkifli Hasan) semalam sewaktu perbahasan mengenai laporan RCI Tabung Haji,” katanya. – UTUSAN

The post Gesaan tubuh RCI baharu TH perlu dibawa ke Jemaah Menteri, perkenan Agong appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved