

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman mengakui tidak pernah berasa malu dipandang serong oleh masyarakat selepas dibebaskan dari hospital psikiatri atau pusat rawatan mental.
Menurut Yasin atau nama lengkapnya Mohamad Yasin Sulaiman , 51, selama tiga minggu sejak dia meninggalkan Hospital Bahagia, dia disambut baik oleh ahli keluarga, rakan-rakan dan masyarakat.
“Buat apa nak malu? Saya tidak melakukan jenayah. Jadi, saya tahu bahawa saya bukan seorang penjenayah dan apa yang saya lakukan itu bukan satu jenayah.
“Kes saya tidak mempunyai mangsa. Bagaimana saya hendak dianggap sebagai penjenayah kalau tiada mangsa? Kalau jenayah itu berlaku, mesti ada mangsa.
“Bunuh orang, curi duit dan aniaya orang, itu jenayah. Jadi, kes saya ini tidak mempunyai mangsa. Saya tidak pernah melihat diri saya sebagai penjenayah. Oleh itu, saya tidak berasa malu,” katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran lagu Yang Tinggal, di sini, hari ini.
Namun kata pelantun lagu Mimpi Laila itu, sebagai seorang yang sudah melanggar undang-undang negara, dia semestinya kesal dengan tindakannya dan berjanji tidak akan melanggar mana-mana undang-undang lagi.
“Sudah tentu saya kesal dan menyesal kerana telah melanggar undang-undang. Selepas apa yang berlaku, saya tidak akan melanggar undang-undang lagi.
‘Saya tidak akan melanggar mana-mana undang-undang di Malaysia, sama ada undang-undang itu betul atau tidak, tidak berapa baik atau sebagainya.
“Janji ia adalah undang-undang, saya tidak akan melanggarnya. Walaupun lampu isyarat merah,” jelasnya.
Sementara itu, Yasin turut meluahkan rasa gembira apabila dia dapat membuat persembahan kali pertama menyanyikan lagu Yang Tinggal bersama Zizi Kirana.
Bercerita lanjut tentang lagu ciptaan Malique itu, kata Yasin, dia terkejut apabila pengarah hospital memberitahu Iman Tang dan Malique mahu bertemu dengannya untuk merakamkan lagu baharu.
“Sejujurnya saya sudah lama mencari Malique sejak 20 tahun lalu. Kami terputus hubungan sejak 2007. Tetapi tak sangka bila saya masuk Tanjung Rambutan (Nama lama Hospital Bahagia), dia yang cari saya.
“Kami rekod lagu tersebut dalam masa 1 jam 30 minit sahaja ketika di hospital,” kongsinya.
Terdahulu, Yasin dibebaskan dari Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak tiga minggu lalu selepas mendapat rawatan selama tiga tahun empat bulan. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Buat apa nak malu, apa saya lakukan bukan satu jenayah’ appeared first on Kosmo Online.






