
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Isu mengenai siapa sebenarnya yang bertanggungjawab menguruskan urusan rumah tangga seperti mengemas atau memasak sering menjadi topik hangat untuk diperdebatkan.
Seperti baru-baru ini, kecoh di media sosial kenyataan yang dibuat oleh seorang pempengaruh tentang tanggungjawab melakukan kerja rumah menurut Islam.
Menerusi sedutan siaran audio siar (podcast) Sembang Seram yang tular, influencer berkenaan, Qawiy berpendapat isu tersebut bukanlah satu perkara yang perlu diperdebatkan.
Ini kerana tiada istilah suami atau isteri yang perlu berbuat kerja. Semuanya adalah atas dasar ihsan. Malah, dia turut menjelaskan seorang isteri itu sebenarnya tidak perlu memasak namun sekiranya ia dibuat, itu adalah atas dasar ihsan.
Perkongsian itu nyata mendapat perhatian ramai hingga tercetusnya perdebatan mengenai tanggungjawab siapa sebenarnya tugas seperti memasak atau mengemas rumah.
Terima kasih para isteri2 semua! Anda mmg hebat #Sembangseram #qawiy #Qawiyaro #Safwannazripod #Safwannazri #Safwannazripodcast #Kisahseram #Kisahhantu #Ceritahantu
Terdapat Dua Pendapat Ulama Mengenai Isu Ini
Mengulas lanjut mengenai isu ini, pendakwah Ustaz Salman Maskuri atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Salman menjelaskan terdapat dua pendapat ulama mengenai perkara tersebut seperti yang dinyatakan dalam kitab Mausu’ah Feqhiah Kuwaitiah.
Dua pendapat tersebut adalah;
- Pendapat kebanyakan ulama iaitu Mazhab Syafie dan Hambali menyatakan, isteri tidak wajib melaksanakan kerja rumah kerana akad perkahwinan adalah untuk pergaulan mesra, bukan untuk menguli tepung, membakar roti, memasak dan seumpamanya.
- Mazhab Maliki pula berpendapat, isteri wajib melakukan kerja dalaman seperti menguli tepung, menghampar tilam, menuang air dan sebagainya jika ia merupakan adat kebiasaaan setempat, kecuali wanita dari golongan bangsawan.
Memetik Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Al-Qur’an sendiri telah mengajar suami supaya bergaul dengan isteri dengan cara yang baik samada daripada sudut adat dan yang lebih penting lagi berlandaskan syariat. Firman Allah SWT:
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: “Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”
(Surah al-Nisa’: 19)
Nabi Muhammad SAW & Isteri Saling Berkhidmat Dalam Rumah Tangga
PU Salman turut memberikan contoh yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW serta isteri baginda yang saling berkhidmat dalam menguruskan hal rumah tangga berdasarkan beberapa hadis sahih;
“Antaranya dalam satu riwayat: ‘Rasulullah SAW berkhidmat untuk isterinya. Bila datang waktu solat, Baginda segera solat (meninggalkan kerja rumah).’(Hadis Riwayat Al-Bukhari).
“Dalam riwayat yang lain: ‘Rasulullah SAW menjahit baju, memperbaiki kasut dan melakukan apa yang orang lelaki buat di rumah.’ (Hadis Riwayat Ibnu Hibban).
Kongsinya lagi, menerusi hadis riwayat Ibnu Hibban dan Imam Ahmad, Nabi Muhammad SAW melakukan tugas manusia biasa di rumah seperti membersihkan kotoran baju, memerah susu dan berkhidmat untuk dirinya.
“Begitu juga disebutkan dalam sebahagian kitab sunnah antaranya kitab Jamius Shagir, yang mana Nabi Muhammad SAW membasuh bajunya, mengangkat baldi, memberi makan kepada kambing, menyapu sampah dan memperbaiki kasut,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.
Ganjaran Besar Menanti Buat Kaum Hawa Berkhidmat Dalam Rumah Tangga
Tambah PU Salman lagi, meskipun Mazhab Syafie dan jumhur ulama tidak menyatakan seorang isteri wajib memasak, namun dia menekankan bahawa kaum Hawa digalakkan berkhidmat dalam rumah tangga memandangkan ganjaran besar menanti mereka.
“Isteri amat disunatkan memasak dan berkhidmat untuk keluarga demi meraih pahala yang besar,” ujar beliau.
“Ia selari dengan hadis diriwayatkan oleh Asma’ binti Yazid: ‘Sesungguhnya baik layanan isteri kepada suaminya, dia mengikut kata dan kehendak suaminya akan memperolehi pahala seperti haji, umrah, jihad, solat Jumaat, ziarah orang sakit dan menyaksikan kematian. (Riwayat Al-Wasiti dalam Tarikh Wasit),” katanya.
Masak, Mengemas Rumah, Basuh Baju Tanggungjawab Suami – UAI
Dalam pada itu, penceramah dan pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) dalam satu video ceramahnya menjelaskan tugas memasak, mengemas rumah dan membasuh baju merupakan tanggungjawab suami.
Namun, sekiranya suami meminta pasangan untuk melakukan kerja rumah berkenaan, seorang isteri wajib taat dan melakukan kerja tersebut.
Malah, suami juga perlu memberi upah memandangkan itu bukanlah tanggungjawab si isteri.
“Kalau kita (suami) suruh isteri buat, baru isteri wajib buat. Kalau tidak, tak wajib buat.
“Bila isteri dah buat, kita kena beri upah kerana tanggungjawab dia bukan basuh baju kita, tanggungjawab dia layan kehendak kita, nafsu kita,” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: Tidak Salah Jika Isteri Pilih Untuk Berhenti Kerja & Tidak Bantu Suami, Kata Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Baca Artikel Berkaitan: Nak Suami Cepat Kaya? Lelaki Kongsi 3 Perkara Yang Patut Dilakukan Isteri [Video]
Source:



