
Kota Kinabalu: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali tidak menolak kemungkinan pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah akan berlaku dalam masa terdekat.
Tanpa menjelaskan tarikh yang tepat, beliau hanya memaklumkan tarikh pembubaran hanya akan diketahui selepas Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor menghadap Di Pertua Negeri Sabah (TYT).
“Dekat-dekat sudah (bubar Dun).
“Saya fikir tidak lama lagi. Dalam tempoh terdekat ini memang akan berlaku pembubaran. Cuma tarikh itu, mungkin Ketua Menteri yang akan menghadap TYT dan berbincang,” katanya yang turut memaklumkan jentera GRS keseluruhannya sudah bersedia menghadapi PRN17.
Beliau berkata demikian semasa sidang media sempena Hari Bertemu Pelanggan SKPS RON95 Peringkat Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di SICC, di sini, Isnin.
Dalam pada itu, Armizan meminta rakyat menilai prestasi semua pemimpin utama parti pembangkang yang dicanang sebagai bakal Ketua Menteri Sabah sebelum memberikan sokongan pada PRN17.
Katanya, ia penting khususnya penilaian terhadap pembangunan di kawasan yang diwakili pemimpin terlibat sejak puluhan tahun lamanya namun tiada kemajuan membanggakan.
Menurutnya, selain sekian lama sebagai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri, kebanyakan pemimpin parti lawan ini juga sebelumnya pernah bersama-sama Kerajaan Persekutuan.
“Ada juga yang telah bersama kerajaan negeri sekian lama selain berpenggal-penggal sebagai wakil rakyat, justeru prestasi mereka khususnya keadaan di kawasan diwakili perlu dinilai rakyat.
“Ini perlu bagi menilai potensi mereka sebagai bakal Ketua Menteri menerusi apa pencapaian yang telah dibawa untuk kawasan mereka dari segi pembangunan dan sebagainya.
“Ada yang lama jadi Ahli Parlimen Semporna (Datuk Seri Shafie Apdal) dan Kinabatangan (Datuk Seri Bung Moktar Radin), termasuk Adun.
“Jadi nilai dulu kawasan mereka sebelum mendengar ‘janji-janji’ mereka mahu bawa perubahan kepada rakyat Sabah,” katanya.
Armizan berkata rakyat Sabah tidak seharusnya menelan bulat-bulat slogan politik tetapi sebaliknya mendengar sendiri pengalaman serta bukti daripada penduduk di kawasan berkenaan.
“Dalam era digital ini, orang ramai boleh dengan mudah mendapatkan testimoni dan kisah secara dalam talian. Sebelum percaya seseorang layak jadi Ketua Menteri, tanyalah: Apa yang sudah mereka sampaikan kepada kawasan sendiri selama ini?” ujarnya.
Beliau menegaskan ukuran sebenar sama ada seseorang benar-benar layak menjadi Ketua Menteri adalah apa yang sudah dilaksanakan.
