
DETIK jam terus berdetik menuju kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah, dan bersamanya muncul persoalan yang telah lama berlegar sejak Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memegang kuasa pada tahun 2020: “Mampukah GRS bertahan sebagai satu gabungan menghadapi pilihan raya sekali lagi?” Besar kemungkinan jawapannya ialah “Ada keraguannya!” Sebaik sahaja Dewan dibubarkan, segala kekuatan yang menyatukan GRS besar kemungkinan berpecah, memberi laluan kepada persaingan dan kehendak perebutan politik yang ketara di kalangan parti-parti komponennya. Lebih penting lagi, rakyat Sabah kini diselubungi api politik baharu—rasa benci yang membuak-buak terhadap parti Malaya—dan GRS ternyata telah kurang menampakkan sentimen ini dalam dasar dan perjuangannya.
Gabungan Demi Kesempatan, Bukan Keyakinan. GRS selama ini kurang dibina atas dasar ideologi bersama atau dan visi jangka panjangnya untuk Sabah tidak selalu selari di kalangan komponen-komponennya. Ia lahir daripada keperluan terdesak—satu gabungan antara Star, PBS, SAPP dan Sabah Bersatu—yang misinya ketika itu hanya satu: menumbangkan Warisan dan membentuk kerajaan.
Sepanjang lima tahun lalu, di mana Bersatu sudah ditinggalkan dengan pembentukan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan) GRS lebih berfungsi seperti blok penjaga sementara dan bukan menjadi sebuah kuasa yang mempunyai halatuju jelas – meskipun dengan slogan “Sabah Maju Jaya”. Dengan pembubaran nanti, gam penyatu GRS diancam akan melonggar, dan gabungan itu mungkin runtuh dibebani kontradiksi dalaman sendiri.
Pertempuran Merebut Kerusi. Keretakan pertama dijangk akan lahir daripada perebutan kerusi. Star, PBS, dan SAPP sudah pun mengintai kawasan yang bertindih—merentasi majoriti Kadazan-Dusun, Murut, Bajau, dan Cina. Sebaik sahaja Dewan dibubar, tiada parti sanggup mengalah daripada kawasan tradisi masing-masing.
Rundingan telah diadakan beberapa kali menampakkan ketegangan, dengan Star misalnya menuntut kerusi lebih banyak daripada yang ditawarkan. Keadaan ini mengandaikan jalan kepada perpecahan gabungan dengan komponen-komponen menjadi pesaing yang masing-masing berebut untuk survival politik.
Longgarnya tali hubungan dengan Malaya. GRS sebelum ini bergantung kepada kehadiran Bersatu Sabah serta hubungannya dengan Putrajaya sebagai tonggak kestabilan.
Tali penghubung itu kini telah menjadi longgar. Bersatu Sabah telah bertukar menjadi Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), sementara Bersatu di peringkat nasional sendiri sedang bercelaru dengan krisis perebutan kepimpinan.
Tonggak baharu GRS, iaitu Pakatan Harapan (PH), juga turut bercelaru dengan krisis kepimpinan di Kuala Lumpur. Dengan itu, saluran hayat dengan PH kepada GRS kini punya persoalan, di kala PH semakin ditolak rakyat, keyakinan terhadapnya ditelan oleh gelombang sentimen anti-Malaya yang semakin bergolak di Sabah.
Makanya dalam GRS kini tinggal gugusan longgar parti-parti tempatan dengan cita-cita yang berbeza atau bertentangan, terumbang-ambing menuju pilihan raya di mana terdapat komponennya mentakrifkan semula identity dan perjuangan mereka dalam menghadapi gelombang “Sabah untuk Sabahan!”, “Sabah dulu!”, “Rumah kita, kita jaga!” dan “Tolak parti Malaya!”.
Ambisi Kerusi Ketua Menteri. Politik berasaskan kehendak merajakan seseorang individu amat ketara di Sabah. Walaupun Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor kini memegang jawatan tertinggi, mungkin parti-parti lain sejak lama menyimpan cita-cita masing-masing.
Apabila pembubaran tiba, cita-cita ini dijangka akan bertembung secara terbuka, menjadikan GRS sebagai satu badan yang payah untuk menampilkan seorang calon Ketua Menteri dengan suara tergabung. Apakah persaingan merebut kerusi tertinggi negeri ini bakal menjadi permulaan perpecahan terbuka di mata rakyat nanti? Sentimen Anti-Malaya yang Membuak di Sabah. Apa yang menjadikan detik ini begitu unik dalam sejarah politik Sabah ialah hebatnya sentimen anti-Malaya yang kini membara di hati rakyat. Selama berdekad-dekad, Sabah hidup di bawah dominasi persekutuan—dasar ditentukan dari Putrajaya, hasil negeri disedut ke Semenanjung, dan janji-janji Perjanjian Malaysia 1963 sama ada diabaikan atau ditangguh-tangguh pelaksanaannya.
Hari ini, kesabaran itu sudah berakhir. Suasana di pekan, kampung, dan kedai kopi amat jelas: rakyat Sabah tidak lagi mahu dilayan sebagai rakan kongsi kelas kedua dalam persekutuan mereka sendiri. Rasa benci itu kini bertukar menjadi arus besar, dengan ramai yang secara terbuka menuntut agar masa depan Sabah dibebaskan sepenuhnya daripada campur tangan Malaya.
Gelombang kemarahan ini bukan sekadar retorik. Ia adalah realiti politik Sabah pada tahun 2025. Dan inilah realiti yang payah ditanggung GRS. Walaupun digelar gabungan tempatan, GRS masih terikat—oleh sejarah dan persepsi—kepada tali politik Malaya. Apa lagi dengan persetujuan untuk kerjasama dengan PH (dan PH dan BN diatur agar jangan belanggar Kawasan) dalam RN17 nanti.
Rakyat Sabah melihatnya sebagai lanjutan kepada sistem yang mereka benci dan ingin lepaskan! Corak Biasa dalam Politik Sabah. Sejarah politik Sabah penuh dengan kerajaan (gabungan) yang naik mendadak dan tumbang dengan cepat. Kerajaan Berjaya, PBS, Barisan Nasional, dan kini GRS—semuanya muncul dengan janji kestabilan, namun hancur apabila tamak kuasa dan pengkhianatan mula bercambah dan mencemarkan pemerintahan. GRS juga dituduh punya kelemahan sama.
Ada bahayanya bahawa dengan pembubaran Dewan, kompnen-komponennya akan meninggalkan kepura-puraan kesatuan dan kembali kepada fitrah asal mereka, iaitu sebagai pesaing antara satu sama lain.
Rakyat Sabah tidak lagi puas dengan gabungan yang bergantung pada ihsan persekutuan. Mereka menuntut satu susunan politik baharu—yang menolak pergantungan pada Malaya, mengembalikan maruah menerusi pelaksanaan janji-janji MA63, dan dengan berani menegaskan bahawa masa depan Sabah mesti ditentukan oleh rakyat Sabah sendiri.
Apabila Dewan dibubar, kemungkinan runtuhnya GRS bukan sekadar berakhirnya sebuah gabungan. Ia akan menandakan bermulanya satu era politik baharu—era di mana jeritan membara untuk bebas daripada dominasi Malaya menjadi semboyan penyatuan rakyat Sabah. Ada kemungkinan besar perubahan ini akan menjadi peristiwa bersejarah, tercatat kekal dalam lembaran sejarah politik negeri, seperti juga dengan kejatuhan Usno dan Berjaya.
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan Harian Ekspres.
