
Jumlah penduduk dunia berusia 65 tahun ke atas kini sudah melebihi jumlah kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah buat pertama kali dalam sejarah yang direkodkan.
Laporan bertajuk An Aging World: 2025 yang diterbitkan Census Bureau di Amerika Syarikat mendapati populasi dunia kini menua lebih pantas berbanding sebelum ini.
Malah, peratusan penduduk dunia berusia 65 tahun ke atas dijangka hampir berganda daripada 10.5 peratus kepada 19.6 peratus antara 2025 hingga 2060.
Jumlah warga emas
Pada 2025, Amerika Syarikat berada di kedudukan ke-48 daripada 227 negara dan wilayah dari segi populasi paling berusia, dengan 18.9 peratus penduduknya berumur 65 tahun ke atas.
Menjelang 2060, golongan warga emas dijangka membentuk 23.4 peratus daripada populasi Amerika Syarikat.
Namun, negara itu dijangka jatuh ke kedudukan ke-110 dunia kerana negara lain mengalami proses penuaan penduduk dengan lebih pantas.
Jepun merupakan negara dengan populasi paling berusia di dunia pada 2025 apabila 29.7 peratus penduduknya berumur 65 tahun ke atas.
Bagaimanapun, menjelang 2060, Korea Selatan dijangka mengambil alih kedudukan itu dengan 41 peratus penduduknya berusia 65 tahun ke atas.
Eropah ketika ini merupakan rantau dengan populasi paling berusia di dunia. Peratusan penduduk berusia 65 tahun ke atas di rantau itu dijangka meningkat daripada 21 peratus pada 2025 kepada 30.8 peratus pada 2060.
Namun dari segi jumlah sebenar, Afrika yang kini merupakan rantau dengan populasi termuda dijangka mempunyai lebih ramai warga emas berbanding Eropah.
Baca juga:
5 Negara Dengan Populasi Penduduk Ramai, Tapi Tak Pernah Layak Piala Dunia
Ini Yang Akan Berlaku Bila Malaysia Jadi Negara Tua
Menjelang 2060, Afrika dijangka mempunyai 249 juta penduduk berusia 65 tahun ke atas berbanding 214 juta di Eropah.

Antara faktor yang menyumbang kepada pertambahan populasi warga emas adalah penurunan kadar kesuburan serta peningkatan perkhidmatan kesihatan, tahap pendidikan dan pembangunan ekonomi di seluruh dunia.
Laporan itu turut memberi perhatian kepada kesan pertumbuhan populasi warga emas terhadap sistem penjagaan kesihatan, pekerjaan serta kesejahteraan kewangan, fizikal dan mental.
Laporan itu menggunakan statistik daripada Pangkalan Data Antarabangsa Biro Banci Amerika Syarikat serta sumber lain termasuk kajian antarabangsa Health and Retirement, Gateway to Global Aging, Bank Dunia, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan OECD.





