
DHAKA: Wabak campak terburuk Bangladesh dalam tempoh beberapa dekad meragut nyawa sekurang-kurangnya 986 kanak-kanak sejak Mac, dengan jumlah kes disyaki dan disahkan kini melebihi 180,000.
Wabak itu terus memburuk walaupun Bangladesh melancarkan kempen vaksinasi secara besar-besaran, dengan lebih 1,000 kes disyaki dilaporkan setiap hari.
Keadaan di wad campak Hospital Kanak-kanak Dhaka semakin sesak, dengan bayi dan kanak-kanak yang mengalami komplikasi akibat penyakit itu memenuhi katil rawatan.
Tangisan pesakit serta bunyi mesin oksigen kedengaran di seluruh wad ketika ibu bapa menunggu di sisi anak masing-masing.
Rima Akter, 30, berkata anak lelakinya yang berusia sembilan bulan, Sabit Haque, antara puluhan kanak-kanak yang kini dirawat di hospital berkenaan.
“Baru sejam lalu, seorang kanak-kanak meninggal dunia dan dibawa keluar di hadapan kami. Kami menyaksikan dua kanak-kanak meninggal dunia hari ini,” katanya kepada AFP pada Khamis.
Campak ialah penyakit yang sangat mudah berjangkit dan merebak melalui batuk serta bersin. Penyakit itu boleh menyebabkan komplikasi serius termasuk pembengkakan otak dan masalah pernafasan.
Walaupun semua peringkat umur boleh dijangkiti, kanak-kanak kecil lebih terdedah kepada komplikasi serius.
Bangladesh, yang mempunyai kira-kira 170 juta penduduk, kini meningkatkan usaha vaksinasi bagi membendung penularan wabak itu, namun jumlah kes terus meningkat.
Kebanyakan kes dalam wabak campak itu membabitkan kanak-kanak berusia antara enam bulan hingga lima tahun.
Doktor berkata, ramai kanak-kanak yang tiba di hospital sudah berada dalam keadaan kritikal, manakala masalah kekurangan zat makanan semakin melemahkan daya tahan tubuh mereka untuk melawan virus berkenaan.
Wabak itu turut mendedahkan kelemahan dalam usaha Bangladesh melindungi golongan kanak-kanak daripada penyakit berjangkit.
Pembantu khas Perdana Menteri Tarique Rahman bagi bidang kesihatan, SM Ziauddin Hyder, menyifatkan penularan itu sebagai “amat dahsyat”.
Bangladesh sebelum ini mencatat kemajuan besar dalam program vaksinasi bagi mencegah penyakit berjangkit. Namun, kempen vaksinasi campak yang dirancang pada 2024 terpaksa ditangguhkan susulan kebangkitan rakyat yang menggulingkan bekas Perdana Menteri Sheikh Hasina.
Kempen vaksinasi pada 2025 pula tertangguh akibat mogok pekerja dan ketidakstabilan politik.
Kerajaan kemudian melancarkan kempen vaksinasi secara besar-besaran bagi membendung wabak berkenaan, namun jumlah kes terus meningkat.- AFP
The post Wabak campak terburuk Bangladesh ragut 986 nyawa kanak-kanak appeared first on Utusan Malaysia.





