Serangan Guna Parang Bermotifkan Dendam, 11 Lelaki Ditahan

5 Sep 2026 • 9:35 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Serangan Guna Parang Bermotifkan Dendam, 11 Lelaki Ditahan

IPOH - Polis menahan 11 lelaki bagi membantu siasatan berhubung serangan dipercayai bermotifkan dendam di Taman Pengkalan Jaya, di sini, yang menyebabkan seorang lelaki berusia 26 tahun cedera parah selepas dikejar dan diserang menggunakan parang.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kesemua suspek berusia antara 22 hingga 41 tahun itu ditahan susulan siasatan terhadap kejadian yang berlaku kira-kira 10.30 pagi, 1 September lalu.

Menurut beliau, mangsa berada di kandang lembunya ketika kejadian, sebelum didatangi sekumpulan lima lelaki yang menaiki dua kereta.

“Ketika berada di lokasi, mangsa didatangi sekumpulan lima lelaki yang menaiki dua kereta sebelum dia dikejar dan diserang.

“Mangsa cuba melarikan diri dengan terjun ke Sungai Kinta, namun seorang daripada suspek tetap menyerangnya menggunakan parang,” katanya ketika ditemui di Ipoh, hari ini.

Serangan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian muka, tangan, kaki dan belakang badan.

Mangsa kemudian diselamatkan orang awam yang membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Mohd Alwi berkata, siasatan awal mendapati serangan berkenaan dipercayai berpunca daripada motif dendam serta rasa tidak puas hati terhadap mangsa.

“Polis memandang serius kejadian ini dan telah menahan 11 lelaki tempatan bagi membantu siasatan.

“Kesemua mereka mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk berkaitan kesalahan dadah dan jenayah kekerasan,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek telah direman bagi membantu siasatan, termasuk bagi menentukan sama ada mereka mempunyai kaitan dengan mana-mana kumpulan jenayah terancang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, denda dan sebatan. - Getaran, 5 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved